Aksi menampar hangatkan Anugerah Akademi Ke-94

 

Pergeseran dua bintang Hollywood, Chris Rock dan Will Smith di pentas Anugerah Akademi Ke-94 yang menyaksikan Smith menampar pelakon dan pelawak popular itu, mengejutkan penonton di Dolby Theatre, di sini dan seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung acara anugerah berprestij itu.

Pada insiden itu, Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, berseloroh mengenai penampilan isteri Smith iaitu Jada Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane.



Secara tiba-tiba, Smith yang juga calon Anugerah Akademi Ke-94, naik ke pentas lalu melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.

Sebaik menampar Rock, Smith kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Rock meminta agar nama isterinya tidak disebut.

Difahamkan, pada detik itu, kata-kata Smith ‘dipadamkan’ daripada siaran ulangan. Namun, ciapan dari Jepun, misalnya, menyatakan penonton di negara matahari terbit itu boleh mendengar butiran yang dilaungkan Smith, lapor agensi.

Aksi Smith pantas menarik perhatian netizen yang melayangkan ciapan dan hantaran dalam media sosial mengenai tindakan mengejutkan pelakon dan pengarah itu dalam acara yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Diddy yang tampil untuk menyampaikan trofi bagi kategori seterusnya, meredakan suasana.

“Will dan Rock, kita akan selesaikan perkara ini seperti sebuah keluarga. Ketika ini, kita terus dalam kasih sayang… Semua orang marilah buat bising sekarang,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh penonton di dewan berkenaan.

Sebelum ini, Pinkett mengumumkan terpaksa mencukur rambut dan tampil botak berikutan mengalami masalah keguguran rambut.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button