PRU15 dijangka pada awal Jun 2022
Oleh – Bakhtiar Omar
Pilihanraya Umum Ke-15 dijangkakan pada awal Jun 2022 berdasarkan sentimen pengundi yang mahu sebuah kerajaan yang stabil kembali memerintah negara.
2 Pilihanraya Negeri dan 7 PRK memberi isyarat keperluan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan mempunyai kekuatan tanpa ada gangguan pentadbiran.
Rakyat masih ingat lagi sebelum PRU14 diadakan, sentimen memilih sebuah kerajaan baru yang lebih baik sering dipromosikan oleh Pakatan Harapan.
Dengan meng’keldai’kan Tun Mahathir sebagai daya penarik, DAP, PKR, AMANAH dan PPBM berjaya menumbangkan Barisan Nasional buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.
Berbekalkan manifesto populis, Pakatan Harapan berjaya memperdayakan pengundi untuk mempercayai kemampuan mereka mentadbir lebih baik dari BN.
RAKYAT KENA TIPU HIDUP-HIDUP DEK MANIFESTO ‘BUKAN KITAB SUCI’
Ibarat ‘sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari’, rakyat akhirnya sedar mereka sebenarnya telah ditipu hidup-hidup oleh PH.
Kegilaan menonjolkan siapa lebih berkuasa dalam kerajaan telah merosakkan banyak dasar yang ditinggalkan BN. Bukan itu sahaja, kisah perebutan untuk peralihan kuasa juga mewarnai pentadbiran PH.
Pelabur mula meninggalkan Malaysia tidak yakin dengan PH sebagai sebuah kerajaan. Kemerosotan ekonomi mula berlaku ditambah dengan cerita dongeng ciptaan PH yang menyatakan Malaysia sudah hampir bangkrap diulang-ulang bagi menutup kelemahan PH itu sendiri.
RAKYAT TUNJUK KUASA DI PRK CAMERON HIGHLANDS
Ibarat ‘tersedar dari mimpi indah’, rakyat mula memprotes dengan kekalahan PH di PRK Cameron Highlands diikuti beberapa siri PRK selepas itu.
Ibarat ‘lepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau’ apabila Perikatan Nasional mengambil alih tampuk dari Pakatan Harapan. PPBM yang bertindak keluar dari gabungan PH menjadi teraju ‘Sheraton Move’ sekaligus mengambil kuasa sebagai Perdana Menteri.
Rakyat berharapkan Perikatan Nasional mampu menjadi lebih baik daripada PH walau tidak sebaik BN, ia hanyalah ‘mimpi indah’.
Penularan wabak covid-19, menyebabkan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin Yassin sangat berjaya bila hanya mampu ‘mengurung rakyat’ dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan-PKP.
Selepas berdepan dengan tekanan dari rakyat sendiri, akhirnya Muhyiddin Yassin akur dengan kemahuan rakyat apabila mengundurkan diri dari jawatan Perdana Menteri.
Akhirnya sinar dihujung terowong kelihatan bila BN mengambil alih walau tidak sepenuhnya pentadbiran negara.
RAKYAT MAHUKAN KERAJAAN YANG STABIL DAN MAMPU KEMBALIKAN MARUAH NEGARA
PRN Johor dikatakan menjadi penanda aras untuk Perdana Menteri menimbangkan keperluan mandat dipulangkan kepada rakyat bagi memilih sebuah kerajaan baru.
Mood pengundi yang masih ‘panas’ seeloknya tidak dibiarkan menjadi sejuk. Tiada lagi isu yang boleh dijadikan modal untuk menafikan ‘hak rakyat’ bagi memilih kerajaan baru.
Kembalikan maruah negara ke tempat asalnya dan jadikan Malaysia kembali makmur dengan sebuah kerajaan baru.