Buat pertimbangan sebelum keluar simpanan KWSP
PADA 16 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di bawah kemudahan pengeluaran khas bermula hari ini.
Keputusan itu dibuat antara lain bermatlamat mengimbangi keperluan rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19 dan bakal menghadapi tempoh fasa peralihan ke endemik.
Ia juga sebagai jalan tengah difikirkan wajar bagi mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan keperluan mempunyai simpanan hari tua rakyat.
Atas faktor itu, kerajaan memutuskan pengeluaran khas KWSP ini adalah terakhir dilaksanakan berdasarkan kajian.
Pemohon boleh memohon bermula hari ini tetapi tertakluk kepada ahli usia 55 tahun ke bawah dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April, manakala pembayaran bermula pada 20 April ini.
PERTIMBANGAN MASA HADAPAN DEPAN
Namun, KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu.
Bagaimanapun, adakah pengeluaran khas ini satu keperluan mendesak oleh pencarum atau hanya keinginan semata-mata. Pencarum perlu sedar, KWSP adalah entiti kerajaan diwujudkan dengan visi untuk menjadi organisasi keselamatan bertaraf dunia dengan mengumpul caruman pekerja dan majikan sebagai simpanan persaraan.
Simpanan KWSP adalah kemudahan untuk pencarum menikmati kehidupan lebih baik dan selesa selepas persaraan dan bukan bertujuan menangani krisis bencana atau kecemasan.
Tujuan simpanan KWSP adalah memberikan bantuan aliran tunai kepada pencarum yang bersara disamping persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
Dari aspek pelaburan, KWSP bertanggungjawab memastikan caruman dibuat majikan dan pekerja dilaburkan dalam kaedah terbaik.
Dalam sistem kewangan negara, KWSP berfungsi untuk melabur dalam dana dan mengagihkan simpanan terkumpul kepada ahli apabila syarat pengeluaran dipenuhi.
BANTUAN BAGI RAKYAT YANG TERKESAN
Perlu diakui, Malaysia adalah negara pertama membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19 sejak 2020.
Skim pengeluaran khas KWSP diperkenalkan kerajaan supaya pencarum boleh mendapatkan bantuan kewangan segera segera.
Pengeluaran khas KWSP ini satu kaedah yang boleh membantu golongan memerlukan lebihan tunai di tangan mereka untuk menyara kehidupan atau mengurangkan beban hutang.
Langkah membenarkan pengeluaran ini penting kepada kelompok individu terkesan sama ada individu kehilangan pekerjaan atau kekurangan sumber pendapatan.
Menerusi pengeluaran ini, ia mampu memberikan kesan positif kepada aktiviti ekonomi negara sekiranya dibelanjakan di jalan yang betul.
Selain itu, kumpulan sasar yang menikmati pengeluaran KWSP ini juga adalah dalam kalangan mereka yang akan tamat tempoh moratorium dari institusi kewangan.
Rata-rata mereka adalah daripada kumpulan terjejas akibat pandemik COVID-19 serta dalam proses pemulihan ekonomi kendiri mahupun keluarga.
Namun, pencarum KWSP dinasihatkan membuat keputusan bijak sebelum melakukan pengeluaran KWSP dengan mengenal pasti kehendak dan keperluan dalam kehidupan ketika ini.
Pengeluaran KWSP ini perlu dimanfaatkan golongan sedemikian, terutama bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan atau perbelanjaan harian, bukan untuk perbelanjaan yang merugikan.
BHOnline