Doktor ditipu Macau Scam RM747,000

 

Seorang pengamal perubatan menanggung kerugian berjumlah RM747,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam di sini, awal Januari lalu.

Kejadian bermula pada 27 Januari apabila lelaki berusia 30 tahun itu menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan nama mangsa digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata mangsa pada mulanya berasa sangsi dengan panggilan telefon itu, namun sindiket terbabit turut menyamar sebagai anggota polis.

Menurutnya, polis palsu terbabit bertindak meyakinkan mangsa kononnya mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram, selain terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah.

“Mangsa kemudiannya diminta memberi maklumat kad kad bank dan perbankan dalam talian bagi tujuan semakan lanjut, selain mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Akibat terpedaya dengan helah sindiket berkenaan, mangsa kemudiannya membuat 16 transaksi pemindahan wang kepada akaun milik individu itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Jasmin berkata, mangsa yang menyedari dirinya tertipu kemudiannya membuat laporan polis pada 18 Mac lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button