Hattan tegur demi kebaikan

See the source image

KUALA LUMPUR: Dalam kalangan selebriti, figura ini dilihat sebagai antara penggiat seni yang lantang meluahkan pendapat terhadap apa sahaja isu melalui perkongsian media sosial.

Walaupun niatnya hanya memberi teguran terhadap kepincangan yang dilihat terutama perkara membabitkan komuniti, namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ramai menganggap penyanyi ‘senior’, Datuk Hattan mulut celupar.



Namun, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 57, tidak pernah berkecil hati dengan tanggapan nakal itu

Hattan sedar sebagai insan berpengaruh, dia berhak bersuara dan menyatakan pendapat melalui media sosial.

“Saya sebenarnya bukanlah suka-suka hendak komen. Tetapi apa yang saya nyatakan dalam media sosial itu, semuanya berlandaskan fakta, bukannya main belasah saja.

“Sebagai seorang yang mempunyai pengikut sendiri, saya berhak menyatakan pendapat terutama perkara yang berlaku dalam industri muzik.



“Saya pernah menegur program televisyen (TV) yang mengundang peserta tidak layak kerana kita tak mahu orang luar pandang rendah terhadap industri muzik kita.

“Kita tidak boleh hendak bertolak ansur dalam hal begini kerana membabitkan maruah industri muzik tanah air,” katanya kepada BH Online.

MENDIDIK BUKAN MENGHINA

Tambah penyanyi Memburu Rindu ini, tiada sebab untuk tindakannya itu dipersoalkan. Ini kerana, katanya, dia menggunakan cara berhemah tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Apabila saya meluahkan pandangan dalam media sosial, saya tidak pernah merendahkan orang lain atau memperlekehkan mana-mana pihak .



“Setiap pendapat diluahkan, saya bagi rasional supaya teguran itu bersifat mendidik, bukannya menghina sesiapa.

“Saya bersyukur kerana kebanyakan pengikut saya boleh menerima cara saya itu,” katanya pada majlis sidang media Konsert Datuk Hattan 35 Years Journey di ibu negara, baru-baru ini.

Menyifatkan apa yang dilakukan sebagai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, penyanyi kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini memberitahu, dia akan terus bersuara selagi berlaku perkara yang tidak kena di matanya.

“Saya suka mengikuti perkembangan semasa. Jadi, saya tahu apa yang berlaku di sekeliling saya. Untuk beri pendapat, saya kena rajin membaca.



“Seperti yang saya katakan, saya bukan sengaja hendak komen sesuatu isu demi publisiti. Ia lebih kepada tanggungjawab sosial saya kepada industri seni,” ujarnya.

KONSERT DI PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR

Sementara itu mengulas penganjuran konsert yang bakal diadakan selama dua malam iaitu mulai 4 Jun depan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Hattan bersyukur kerana tiket pada malam kedua sudah habis terjual.

“Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki saya apabila semua tiket untuk malam kedua dibeli sebuah syarikat korporat.

“Selepas 15 minit kami berbincang, mereka setuju ‘borong’ semua tiket itu. Tetapi tiket untuk malam pertama masih ada lagi,” kata penyanyi yang terkenal dengan genre blues ini.



Berkongsi perjalanan konsert yang penuh bermakna itu, Hattan memberitahu, acara itu bakal menterjemahkan perjalanan karier seninya sepanjang lebih tiga dekad.

“Saya akan menyanyikan puluhan lagu popular yang dipetik dari setiap album yang pernah saya hasilkan dari dulu hinggalah sekarang.

“Apa yang penting, pada konsert itu nanti, saya letakkan sepenuh jiwa dan raga saya pada nyanyian yang didendangkan.

“Ia lebih kepada penghayatan, bukan lagi terlompat-lompat seperti zaman muda-muda dahulu,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button