Perang di Ukraine dijangka berlanjutan

Anggota tentera Ukraine berdiri di samping tentera Russia yang ditahan dan digari di Kharkiv, Ukraine, ketika Russia merobak kedudukan tenteranya di negara itu. - Foto AFP

 

Russia akan merombak semula beberapa pasukannya di sekitar ibu kota Ukraine, Kyiv, untuk dihantar ke wilayah timur Donbass, di mana tentera Ukraine sedang menentang habis-habisan.

Perkara itu dimaklumkan jurucakap Pentagon, John Kirby, yang turut memberitahu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin, memutuskan untuk menyimpan Divisyen Udara ke-82 di Eropah buat masa ini bersama kapal induk kumpulan penyerang di perairan Mediterranean.



Russia memindahkan sebahagian kecil, sekitar 20 peratus daripada tenteranya di sekitar Kyiv, selepas gagal menakluki bandar itu, yang terus menjadi sasaran serangan udara Russia.

“Kurang pasti ke mana mereka akan pergi, berapa lama dan atas tujuan apa, namun kita tidak melihat sebarang petunjuk bahawa mereka akan dihantar pulang,” katanya

Tambah Kirby, penilaian terbaik adalah pasukan itu akan ditempatkan semula, kemungkinan di Belarus, dibekalkan semula dan digunakan di tempat lain di Ukraine.

Katanya, Russia juga mempunyai perancangan untuk mengutamakan semula operasinya di kawasan Donbass dan Lugansk.



Sementara itu, ketua kanan ketenteraan Russia, Sergei Rudskoi, minggu lalu berkata fasa pertama kempen ketenteraan di Ukraine sudah berakhir dan pasukan itu kini akan memberi tumpuan kepada matlamat utama mereka iaitu pembebasan Donbass.

Kirby berkata wilayah Donbass sudah menjadi rebutan sejak lapan tahun lalu dan pasukan tentera Ukraine sangat aktif di kawasan itu.

“Ini terus akan berlanjutan untuk seketika dan mungkin akan lama berterusan, bukan untuk beberapa hari atau minggu, sukar untuk diketahui,” katanya.

Kirby berkata Amerika Syarikat (AS) menerima petanda bahawa sebahagian tentera Russia sudah meninggalkan kawasan sekitar loji nuklear Chernobyl.



“Kami mendapat maklumat mereka akan meninggalkan kawasan utara untuk kembali menuju ke Belarus,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button