Masjid dipenuhi jemaah tunai solat tarawih

Kuala Lumpur: Selepas dua tahun tidak dapat mengimarahkan masjid, hari pertama solat tarawih dipenuhi jemaah bagi menunaikan solat sunat berkenaan.

Umat Islam tidak melepaskan peluang sempena bulan mulia ini untuk kembali mengimarahkan masjid tanpa penjarakan saf seperti diumumkan kerajaan bermula 1 April lalu.

Tinjauan di Masjid Jamek Kampung Baru, dekat sini, memperlihatkan kira-kira 3,000 jemaah memenuhi dewan solat utama.



Solat tarawih berkenaan dipimpin imam bertugas Imam Azizi Abdul Hamid dan Imam Muhammad Asim Salleh Sani.

Pemerhatian wartawan mendapati, semua jemaah juga masih mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika menunaikan solat.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail dilaporkan berkata, solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan, selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April.

Mohd Ajib dilaporkan berkata, kebenaran merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta SOP bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button