Dapat tahu arwah anak kemalangan ketika berbuka

Kuala Terengganu: Luluh hati seorang bapa apabila anak disangka hanya cedera dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Lingai, Kuala Nerus, semalam dan dirawat di unit kecemasan adalah seorang daripada mangsa maut.

Warga emas, Jusoh Abd Rahman, 78, adalah bapa kepada Mohammad Saufi, 34, yang maut bersama tiga lagi rakannya selepas van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan empat kenderaan termasuk bas ekspres.

Menurut Jusoh, dia yang berada di rumah dimaklumkan anak kelima daripada lapan beradik terbabit dalam kemalangan ketika berbuka puasa.



Katanya, menjadi kebiasaan anaknya berbuka puasa bersamanya, isteri dan dua adiknya di rumah mereka di Kampung Losong Haji Mat Shafie, di sini namun sehingga 7 malam, arwah tidak sampai di rumah.

“Tunggu juga dia balik dan ingatkan dia ada kerja tetapi tiba-tiba dimaklumkan anak kemalangan sebelum anak bongsu hubungi anak kedua saya yang tinggal di Manir.

“Kami segera ke unit kecemasan namun pelik sebab nama anak tiada di situ sebelum ternampak trak polis yang bawa mayat dan dimaklumkan anak antara yang maut dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini malam tadi.

Sementara itu, Othman,45, yang juga abangkepada Allahyarham Mohammad Saufi berkata, dia yang tinggal di Manir segera ke rumah keluarganya sebaik dimaklumkan kejadian berkenaan.



“Ketika itu, kami hanya dimaklumkan arwah kemalangan tetapi mula rasa tak sedap hati apabila nama adik tiada di unit kecemasan.

“Saya cuba hubungi kawan-kawan sekerja arwah tetapi tiada jawapan dan mula rasa tidak sedap hati sebelum kami ternampak kenderaan polis.

“Tidak lama kemudian, keluarga kepada rakan arwah minta pergi ke bilik mayat,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button