Program bantuan pendidikan untuk murid B40



Kuala Lumpur: Seramai 40 pelajar dari lima buah sekolah di Selangor terpilih untuk menyertai Program Sekolah Maharani (MSP) dalam usaha memberi peluang pendidikan dan kemahiran khusus kepada murid perempuan yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Lima sekolah terpilih termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia di Gombak, SMK Bandar Rinching, Hulu Langat, SMK Batu Unjur, SMK Tengku Idris Shah dan SMK Tengku Ampuan Jemaah masingmasing di Klang.

Program yang dijalankan sejak 2010 itu adalah inisiatif Yayasan Rhythm dengan kerjasama Yayasan Pintar.

Ketua Yayasan Rhythm, Datin Sri Umayal Eswaran, berkata MSP adalah program yang direka untuk disepadukan ke dalam kurikulum sekolah dengan harapan ia dapat menyokong remaja perempuan dalam menguasai pelajaran selain menangani isu kesedaran diri, hak asasi manusia dan kesaksamaan jantina.



“Ia juga bertujuan untuk membantu mereka mengembangkan keyakinan diri.

“Kami sudah memulakan program ini sejak sedekad lalu dan mensasarkan untuk membantu pelajar yang datang daripada keluarga B40 bagi membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman dengan Yayasan Pintar yang diwakili Umayal manakala, Yayasan Pintar diwakili Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Menerusi kerjasama itu, seramai 20 orang jurulatih dari Yayasan Pintar akan melatih pelajar berkenaan dalam tempoh empat tahun.

Untuk setiap pengambilan, ia akan mensasarkan 40 pelajar Tingkatan Dua yang mana mereka akan menerima bimbingan sehingga Tingkatan Lima.



Selama tempoh berkenaan, pelajar terpilih akan menerima sokongan dari sudut akademik merangkumi tunjuk ajar dalam subjek aliran teras juga seni serta perakaunan.

Murid terpilih turut mendapat bantuan dari segi sokongan akademik, kaunseling, bimbingan kerjaya dan banyak lagi. Sejak dimulakan program berkenaan sudah melatih 7,500 pelajar perempuan dari pelbagai sekolah di seluruh Malaysia.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker