Aktiviti persundalan cemar Ramadan
Seremban: Dengan harga serendah RM45, lelaki hidung belang boleh melampiaskan nafsu serakah mereka dengan melanggan wanita warga asing di dua hotel di daerah ini.
Difahamkan hotel yang menjadi aktiviti persundalan itu sudah beroperasi sejak dua minggu lalu dengan tawaran wanita usia antara 25 hingga 35 tahun.
Operasi haram itu tidak bertahan lama apabila polis melakukan serbuan dalam Ops Noda pada 3 petang hari ini, menyaksikan lapan wanita warga asing ditahan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, risikan pihaknya mendapati kegiatan itu mulai aktif selepas pintu sempadan negara dibuka mulai 1 April lalu.
“Kita percaya apabila negara kini memasuki Fasa Peralihan Endemik, kegiatan pelacuran di hotel bajet sebegini mula aktif semula.
“Hasil siasatan awal mendapati kegiatan bermula 12 tengah hari sehingga enam petang atau kemungkinan lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui sejurus operasi, hari ini.
Nanda berkata, pihaknya percaya wanita warga asing itu masuk ke dalam negara menggunakan pas lawatan sosial.
Terdahulu operasi yang dijalankan Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi (D7) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban itu, turut menahan lima pelanggan termasuk tiga warga tempatan berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 372A dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.
“Kami turut merampas beberapa kondom dan wang tunai, menjadi bukti berlakunya aktiviti persundalan di hotel ini,” katanya.
METRO