Aubameyang ibarat ‘hadiah dari syurga’

Madrid: ‘Hadiah dari syurga’, itu adalah gambaran jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez mengenai kehadiran Pierre-Emerick Aubameyang apabila penyerang disisihkan Arsenal itu menunjukkan prestasi terbaik dan menjaringkan gol demi gol.

Sukar difikirkan mengenai perolehan paling menarik pada perpindahan Januari berbanding Aubameyang, yang memberikan kesan serta merta buat Barca dan masa depan pasukan.

Pada hujung musim, gol Aubameyang mungkin menjadi faktor terbesar Barcelona menamatkan La Liga dalam kelompok empat teratas iaitu pencapaian dianggap sebagai perubahan besar.



Dia menjaringkan sembilan gol dalam 12 perlawanan setakat ini, termasuk hatrik ketika menentang Valencia dan dua gol ketika membelasah Real Madrid.

Sekiranya tersisih daripada kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan akan menjejaskan pelan pemulihan ekonomi serta projek pembentukan pasukan di bawah Xavi, yang dijangka mendapat lantikan tetap, tetapi ia dilihat sukar ketika dia mula-mula memikul tugas kejurulatihan utama, November lalu.

Nasib Barcelona berubah secara dramatik apabila mereka kini memiliki dua peluang untuk mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah.

Mereka kini menduduki tangga kedua La Liga selepas menewaskan Sevilla, Ahad lalu atau memenangi Liga Europa pada ketika menjadi pilihan utama, ketika ini.



Mereka akan menentang Frankfurt pada aksi suku akhir pertama, esok sebelum pemenang akan bertemu sama ada Lyon atau West Ham di separuh akhir.

Perpisahan Aubameyang, 32, dengan Arsenal pada pertengahan musim terus mencetuskan perdebatan di England, apabila ramai mempertikaikan keputusan Mikel Arteta membenarkan penyerang itu berpindah secara percuma sehingga pasukan berdepan masalah menjaringkan gol.

Ramai berkata, hasil keputusan itu akan ditentukan sama ada Arsenal menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam kelompok empat teratas dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama sejak musim 2016-17.

“Auba adalah hadiah dari syurga,” kata Xavi.



“Dia adalah pemain positif, bersikap baik di bilik persalinan dan cepat menyesuaikan diri dengan keperluan pasukan untuk menjaringkan gol. Memang bertuah dapat memilikinya dan dia akan terus menyumbang kepada kami.”

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button