Guardiola puji kesabaran pemain Man City

Manchester: Pep Guardiola memuji kesabaran pemain Manchester City selepas Kevin De Bruyne memecahkan kedegilan Atletico Madrid untuk menang 1-0 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

Anak buah Guardiola menghabiskan sebahagian besar perlawanan dengan usaha untuk memecahkan benteng merah dan putih dibina pemain Atletico di Stadium Etihad.

Guardiola memasukkan Phil Foden pada pertengahan babak kedua dan hantaran menariknya membolehkan De Bruyne memecah kebuntuan sebagai imbuhan kepada penguasaan City.



“Saya tidak menjangkakan akan menang 3-0 atau 4-0. Saya tahu siapa lawan dan mereka sudah bermain bersama sejak beberapa tahun lalu,” kata Guardiola.

“Mereka bertahan dengan baik, padat dan kental. Kami pula bersabar dan apabila berdepan pasukan seperti ini, mereka mahu anda merasa bimbang.

“Ia adalah keputusan yang baik. Malangnya, kami ada beberapa peluang lagi yang sepatutnya berjaya disempurnakan.”

Bagaimanapun, Guardiola sedar bahawa misi pasukannya masih belum berakhir dan bukan tugas mudah apabila berkunjung ke Madrid, minggu depan.



“Walaupun mendahului 1-0, kunjungan ke Madrid bukan mudah,” kata Guardiola.

“Kami perlu mengawal emosi. Ia ujian yang baik untuk menguji kematangan kami. Kami akan cuba menjaringkan gol dan memenangi perlawanan ini.”

Pada permulaan musim ketika City berada dalam tempoh 11 hari dalam memburu gelaran treble, ia adalah keputusan memberangsangkan hasil kesabaran mereka.

Tetapi, Atletico menyingkirkan Manchester United di pusingan 16 terbaik musim ini, manakala Liverpool turut menjadi mangsa kepada anak buah Diego Simeone ketika Reds berstatus juara bertahan pada musim 2019-20.



Malah, juara Sepanyol itu percaya mereka mampu mencipta satu lagi kejutan pada aksi suku akhir kedua di Madrid pada 13 April ini.

METRO

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button