DBKL buka pagar besi di bazar Lorong TAR

Kuala Lumpur: Susulan aduan dan rungutan daripada peniaga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil keputusan untuk membuka pagar besi yang dipasang di sekeliling Bazar Aidilfitri 2022 di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Berikutan itu, DBKL akan menyediakan lima pintu masuk ke bazar berkenaan dengan kawalan penguatkuasaan serta keselamatan dan pengunjung boleh berkunjung ke bazar itu melalui mana-mana pintu tersebut.

“Semua pengunjung juga dikehendaki mengimbas MySejahtera di pintu masuk,” menurut DBKL dalam kenyataan hari ini.



Kenyataan itu menyebut DBKL sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama dalam aspek keselamatan menerusi penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), kawalan di lapangan oleh anggota penguat kuasanya, penempatan bilik gerakan petugas dan pasukan penyelenggaraan yang bersiap siaga 24 jam.

“Alat pembesar suara juga disediakan bagi memastikan maklumat dapat disampaikan kepada semua pihak yang berada di bazar selain tiada aktiviti memasak dibenarkan di seluruh kawasan bazar sekali gus mengurangkan risiko berlakunya kebakaran,” menurut kenyataan itu.

DBKL menasihati dan mengingatkan semua peniaga supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan bazar.

“Peniaga diharap boleh berniaga dengan suasana yang terbaik manakala pengunjung boleh menikmati suasana beli belah dengan tenang dan sentiasa mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.



Bazar Aidilfitri Lorong TAR 2022, yang bermula dari Kompleks Campbell sehingga ke persimpangan Masjid India, akan beroperasi mulai 9 April hingga 2 Mei depan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button