Moderna tarik balik ratusan ribu dos vaksinnya di Eropah
Washington: Moderna Inc pada Jumaat menarik balik 764,900 dos vaksin Covid-19 yang dibuat oleh pengeluar kontraknya Rovi selepas vial (bebuli) didapati tercemar oleh benda asing.
Tiada isu keselamatan dikenal pasti mengenai sejumlah vaksin yang diedarkan di Norway, Poland, Portugal, Sepanyol dan Sweden, pada Januari itu.
Pengeluar vaksin itu memaklumkan pencemaran itu ditemukan hanya di dalam satu botol, dan ia menarik balik keseluruhannya sebagai langkah keselamatan.
Bagaimanapun, Moderna Inc tidak mendedahkan apa yang ditemukan di dalam botol itu.
Pihak berkuasa Jepun tahun lalu menggantung penggunaan beberapa dos vaksin dan Moderna Inc kemudiannya dipanggil selepas penyiasatan menemui bahan cemar keluli tahan karat dalam beberapa botol.
Lebih 900 juta dos vaksin Covid-19 jenis Moderna diberikan di seluruh dunia sehingga kini.
Pada Jumaat, Moderna memaklumkan pihaknya tidak percaya pencemaran itu menimbulkan risiko kepada botol lain pada sejumlah vaksin itu.