Op Samseng Jalanan Enam ditahan

Seremban- Polis menahan enam individu selepas mereka menunggang motosikal secara melulu, melakukan aksi merbahaya dan bersaing sesama sendiri menerusi Op Samseng Jalanan, di dua lokasi berasingan, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, operasi bermula 11 malam itu dilaksanakan Skuad 42 JSPT negeri dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Seremban serta Jempol.

Katanya, hasil daripada operasi itu, seramai enam individu berusia 16 hingga 25 tahun ditahan polis bersama enam motosikal yang ditunggang mereka.



“Dua individu berusia 18 dan 25 tahun ditahan kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan di Jalan Persiaran Senawang 1.

“Manakala BSPTD Jempol pula menahan empat lelaki berusia 16 hingga 17 tahun selepas melakukan aksi bersaing sesama sendiri di Kilometer 5 Jalan Bahau-Kemayan berhampiran BHP Mahsan menuju ke arah Restoran Liga Maju,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shafiei berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke BSPT Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan BSPT IPD Jempol untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, mereka akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

“Selain itu mereka juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button