Warga emas tinggal berseorangan ditemukan mati
Kuala Lumpur: Lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai sebuah flat di Taman Maluri di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, mayat lelaki berusia 67 tahun yang tinggal berseorangan di rumah itu ditemukan pada 12.25 tengah hari.
“Polis menerima laporan dari orang awam berhubung bau busuk dari sebuah rumah sebelum sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di rumah terbabit dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Idzam berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui.
“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengetahui punca kematian.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Ketua Polis Balai Cheras, Asisten Superintendan Mohd Redzuan Md Darus di talian 03-92050301 sambungan 302,” katanya.