Parti Putra Melaka ‘Bubar’
Ayer Keroh: Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Melaka Dr Mohd Alwi Sari mengetuai kira-kira 500 ahli seluruh negeri mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan itu susulan keputusan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) pada 1 April lalu membubarkan jawatankuasa parti di peringkat negeri berikutan beberapa perkara yang didakwa menyalahi peraturan ditetapkan pucuk kepemimpinan Putra.
Pada sidang medianya petang tadi, Mohd Alwi turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ADT Putra, Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya serta Ketua Cawangan Taman Saujana Indah.
Turut berbuat demikian, tiga lagi ketua bahagian membabitkan Kota Melaka, Jasin dan Alor Gajah.
Mohd Alwi berkata, tindakan pucuk kepemimpinan parti membubarkan Badan Perhubungan Putra negeri dilakukan tanpa ada sebarang perbincangan dengan pemimpin parti di peringkat negeri.
“Saya akan terima dengan hati terbuka mengenai keputusan ini jika saya dimaklumkan dan dinyatakan terlebih dahulu sebab pembubaran ini.
“Pucuk kepemimpinan Putra sepatutnya mempunyai pengurusan dan pentadbiran parti yang profesional serta menghormati pengorbanan kami di Melaka sejak parti ini diwujudkan tiga tahun lalu,” katanya.
Selain Melaka, Mohd Alwi mendakwa turut dikenakan tindakan pembubaran Putra negeri adalah Johor dan Perak.