Anggota trafik bantu tangkap lelaki larikan gelang emas
Kota Bharu: Berpura-pura bertanyakan barang kemas sebelum melarikan dua utas gelang emas bernilai RM6,500 dari sebuah kedai emas di Jalan Bazar Buluh Kubu, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun tindakan lelaki berusia awal 50-an itu kecundang apabila dia ditangkap seorang anggota polis trafik yang kebetulan bertugas di sekitar lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pada jam 2 petang, suspek datang ke premis itu berpura-pura bertanyakan barang kemas kepada pembantu kedai kononnya untuk dibelikan kepada isterinya.
“Ketika melihat dua utas gelang emas yang bernilai RM6,500, suspek bertindak melarikannya dan wanita yang juga pembantu kedai cuba mengejar lelaki itu sambil menjerit meminta pertolongan.
“Suspek kemudian berjaya ditangkap seorang anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu yang ketika itu sedang bertugas dengan dibantu orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.