Bau wangian kasturi ketika urus jenazah bekas tahanan
Taiping: “Saya lebih suka bekerja dengan masyarakat kerana sekurang-kurangnya dapat membuang ego dan sombong,” kata Mohammad Hazuan Hizamil Mohd Sukur, 30.
Graduan Diploma Pengajian Islam di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, Perak itu memilih untuk terbabit dalam pengurusan jenazah sejak enam tahun lalu.
Pada awalnya Mohammad Hazuan Hizamil dari Kampung Jelapang Jaya, di sini tidak mempunyai asas dan hanya mengikut mereka yang lebih berpengalaman.
Namun kini, berbekalkan pengalaman ditimba sejak 2016, datang keberanian untuk pemuda itu bergerak sendiri dan mendapat kepercayaan masyarakat sekitar Taiping yang menggunakan khidmatnya menguruskan jenazah waris mereka.
“Memang ada yang nasihatkan saya cari kerja tetap daripada melakukan pekerjaan sekarang.
“Namun, di kampung sudah ramai yang berusia jadi itu yang mendorong saya untuk ceburi bidang ini
“Lagipun, ayah (Mohd Sukur Mohd Assan, 67) pembuat keranda dan suka lakukan aktiviti kemasyarakatan menyebabkan saya terikut-ikut,” kata bekas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) itu ketika dihubungi Harian Metro.
Mohammad Hazuan Hizamil berkata, khidmatnya diperlukan untuk memandikan, mengkafankan dan menjadi imam untuk bacaan talkin di tanah perkuburan.
Katanya, sepanjang enam tahun terbabit dalam pengurusan jenazah, pelbagai pengalaman ditimba dengan ada di antaranya memberi iktibar buatnya yang masih bernyawa.
“Bukan semua jenazah yang kita uruskan dalam keadaan sempurna sifatnya kerana ada yang sebaliknya disebabkan terbabit dalam kemalangan dan sebagainya.
“Sebagai individu dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jenazah, kita galas tugas sebagai satu amanah.
“Pada awal pembabitan dulu saya pernah melalui pengalaman misteri apabila ternampak jenazah yang sudah diuruskan di hospital terbaring di ruang tamu sebaik pulang ke rumah.
“Lemah lutut juga jadinya namun saya beristighfar dan sejak itu belajar mendalami perubatan Islam.
“Di sebalik kisah menakutkan itu, pengalaman lain yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika menguruskan jenazah seorang lelaki yang juga bekas tahanan penjara kerana keluar wangian kasturi selepas memandikannya dan ketika mengkafankannya, dahinya berpeluh.
“Cemburu rasanya dengan kematiannya kerana yakin ada amalan baik yang dilakukannya sehingga pengakhirannya begitu,” katanya yang turut diberi kepercayaan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Di samping sibuk dengan kerja hakikinya, Mohammad Hazuan Hizamil juga gemar berkongsi video dakwah berkaitan kematian dan mengadakan siaran langsung bagi berkongsi ilmu pengurusan jenazah di TikTok.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, TikTok menjadi pilihannya kerana dia menyedari pengaruh kuat platform berkenaan khususnya dalam kalangan anak muda ketika ini.
“Buat masa ini penerimaan daripada pengikut dan pengguna di TikTok amat baik kerana realitinya, ramai orang di luar sana dahagakan ilmu pengurusan jenazah.
“Bagaimanapun, ada juga kecaman diterima daripada segelintir individu yang menuduh saya mendedahkan aib si mati.
“Hakikatnya, saya tidak pernah lakukannya kerana fokus hanya hanya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada supaya lebih ramai anak muda berminat turut serta,” katanya yang sedang mengumpul dana bagi membeli van jenazah dan berhasrat menubuhkan pasukan pengurusan jenazah membabitkan anak muda.