‘Mansuhkan penyiaran warta, sambung rundingan’

KUALA LUMPUR: Penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini, menggesa penyiaran Warta Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) dimansuh bagi membolehkan rundingan bagi projek pembangunan semula kawasan itu diteruskan.

Ia susulan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang mahu rundingan bersama penduduk diteruskan bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut berkaitan projek terbabit.

Penyiaran Warta di bawah Seksyen 4 Akta 486 dibuat untuk memaklumkan plot tanah berkemungkinan diambil, manakala Seksyen 8 akta sama bagi pengisytiharan pengambilan yang dicadangkan.



Wakil penduduk di kediaman teres, Azlan Mustafa, menyifatkan penyiaran dua warta itu dibuat secara mengejut dan mendadak, selain mendakwa pandangan mereka kerap ‘ditenggelamkan’ sepanjang rundingan dengan pemaju sejak 2016.

Malah, katanya, penyiaran Warta Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta 486 dibuat selang dua hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan, masing-masing pada 18 dan 21 Jun 2021, menyebabkan penduduk tidak sempat meneliti atau mengemukakan bantahan.

Beliau mendakwa, penyiaran dua warta itu seolah-olah bertujuan mempersetujui keputusan lebih awal yang dimuktamadkan beberapa pihak bagi projek pembangunan semula di kawasan berkenaan.

“Penilai swasta yang menilai beberapa unit rumah kami pun memerlukan sekurang-kurangnya lima hari menyediakan laporan dan belum mengambil kira tempoh ia diserahkan kepada pihak berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk.



“Penduduk ada dengar desas-desus pembangunan semula kawasan ini membabitkan banyak pemaju tetapi hanya satu pihak datang membawa kertas cadangan membabitkan tawaran usaha sama.

“Ia bagi menggantikan unit rumah sedia ada tanpa membabitkan jual beli tapi penduduk teres menolak tawaran ini ketika rundingan dan pemaju tidak membuat penambahbaikan ke atas tawaran,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Shahidan dilaporkan memberi jaminan penduduk di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru tidak akan dipindahkan dan mengosongkan kediaman masing-masing Ramadan ini, selain mahu rundingan diteruskan bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut itu.

Isnin lalu, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) menjelaskan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) selaku pemegang hak kepada flat terbabit dalam pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, tiada halangan membenarkan bekas pemilik unit kediaman itu terus mendiami rumah berkenaan sehingga 31 Julai ini.



Sebelum ini, rancangan pembangunan di Kampung Sungai Baru dilapor membabitkan penduduk di dua jenis kediaman iaitu flat PKNS dan rumah di tanah persendirian, dengan 264 daripada 328 unit adalah flat dan selebihnya rumah teres dianggar berkeluasan 6.8 hektar.

Difahamkan, 30 peratus penduduk tidak bersetuju dengan pampasan ditawarkan, iaitu RM240,000 hingga RM260,000 bagi unit flat dan kira-kira RM400 sekaki persegi bagi kategori rumah teres.

Azlan menafikan dakwaan berkenaan isu majoriti yang sering diketengahkan beberapa pihak mendakwa kumpulan berkenaan bersetuju dengan projek berkenaan, manakala sebahagian penduduk yang membantah adalah minoriti dan degil.

“Pembangunan semula kawasan ini membabitkan perumahan teres dan flat dengan pemaju pernah mengakui tidak boleh membangunkan projek tanpa pembabitan penduduk rumah teres.



“Kita tak boleh samakan unit perumahan teres dengan flat.

“Majoriti ini seolah-olah usaha untuk mengaburi dan menenggelamkan bantahan penduduk apabila mendakwa hanya kumpulan kecil menolak.

“Ini salah, sebaliknya pemaju yang degil kerana penduduk sudah menolak sejak tetapi mereka menggunakan akta ke atas penduduk,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button