Cristiano Ronaldo mahu tambah koleksi hatrik
MANCHESTER: Cristiano Ronaldo, 37, kini sudah meledak 60 hatrik sepanjang kariernya, 30 sebelum berusia 30 tahun dan 30 lagi selepas itu.
Hatrik terbarunya adalah ketika Manchester United menewaskan Norwich City 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.
“30 hatrik sebelum 30 dan 30 hatrik selepas 30. Sekarang masa untuk membuatkan ia berat sebelah!” kata Ronaldo di media sosial.
44 daripada hatrik Ronaldo adalah ketika dia menyarung jersi Real Madrid. Sepanjang dua kali bersama United, dia meledak tiga hatrik, tiga kali sepanjang dua musim di Juventus dan 10 untuk negaranya, Portugal.
Walaupun ramai mengkritik kemampuannya bersama United musim ini, Ronaldo sudah meledak 21 gol dalam semua pertandingan pada kempen kali ini – 12 mengatasi rakan senegaranya Bruno Fernandes.
Dia juga menjadi pemain nombor tujuh pertama melakukannya sejak… dia sendiri melakukannya ketika kali pertama menyertai United.
Pemain nombor tujuh lain antaranya Michael Owen, Antonio Valencia, Angel Di Maria, Memphis Depay dan Alexis Sanchez semuanya gagal melepasi 20 gol semusim.
Paling hampir adalah Edinson Cavani dengan 17 gol musim lalu sebelum dia menyerahkan jersi itu kepada Ronaldo.
Ronaldo kini memegang rekod penjaring terbanyak dengan 810 gol dalam kariernya. Dia turut memecahkan rekod jaringan antarabangsa yang dipegang Ali Daei dari Iran dengan meledak 115 gol dalam 186 penampilan.
AGENSI