Prosiding hari ini tentukan rayuan Ke Ting

KOTA BHARU: Prosiding pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini, akan menentukan sama ada kerani, Sam Ke Ting, 27, dapat menangguhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi, kerana memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja basikal lajak lima tahun lalu

Peguam kanan, Muhammad Hasif Hassan, berkata rayuan penangguhan itu dibuat pihak peguam bela sementara menunggu perbicaraan penuh di Mahkamah Rayuan kelak.

“Bagi kes Sam Ke Ting, selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman berkenaan tempoh hari, pihak peguam bela membuat rayuan untuk menangguhkan hukuman terbabit, namun ketika itu ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi.



“Justeru, rayuan (penolakan penangguhan itu) dibuat pula di Mahkamah Rayuan. Untuk proses esok (hari ini), kedua-dua pihak iaitu pendakwaan dan peguam bela akan mengemukakan hujah-hujah tertentu.

“Bagi peguam bela, mereka akan berhujah kenapa hukuman itu perlu ditangguh dan pada masa sama, pendakwaan pula mengemukakan hujah kenapa pelaksanaannya tidak perlu ditangguhkan lagi,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas prosiding yang dijangka berlangsung di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini, yang menarik minat ramai selepas Ke Ting sebelum ini dua kali dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret, sebelum keputusan itu diubah Mahkamah Tinggi, susulan rayuan dibuat pihak pendakwaan.

Muhammad Hasif berkata, selepas mendengar hujah dikemukakan kedua-dua pihak, lazimnya panel hakim akan membuat keputusan pada hari yang sama, sama ada penangguhan hukuman itu dibenarkan atau sebaliknya.



“Masyarakat kena faham, rayuan penangguhan ini dibuat sementara perbicaraan penuh di Mahkamah Rayuan berlangsung, kerana perbicaraan akan mengambil masa beberapa bulan.

“Sekiranya penangguhan dibenarkan esok, maka responden akan dikeluarkan daripada penjara (sehingga Mahkamah Rayuan membuat sebarang keputusan terhadap rayuan difailkan oleh peguam bela responden terhadap keputusan Mahkamah Tinggi),” katanya.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, rayuan Ke Ting akan didengar di hadapan panel hakim Mahkamah Rayuan 3, bermula jam 9 pagi.

Pada 14 April lalu, peguam yang mewakili wanita terbabit, Muhammad Faizal Mokhtar, memfailkan notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button