Tiga pasukan hantar permohonan sertai Liga Super

Oleh – Syeikh Baran


Tiga pasukan hantar permohonan sertai Liga Super
Stuart Ramalingam

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga pasukan dari Liga M3 telah memohon lesen luar biasa untuk menyertai saingan Liga Super musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, tiga pasukan itu terdiri daripada Imigresen FC (IFC), Harini FT dan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers).



Bagaimanapun, tiada permohonan daripada Melaka yang sebelum ini dilaporkan turut berminat untuk beraksi dalam saingan Liga Super.

“Kami telah menerima permohonan daripada ketiga-tiga pasukan tersebut dan kami sedang menyemak dokumen yang telah diserahkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, MFL telah membuka semula permohonan lesen tersebut kepada semua kelab Liga M3 selepas keputusan First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam musim baharu Liga Super, dijadualkan bermula Mei ini.

Menurut badan pengelola liga bola sepak profesional negara itu, permohonan lesen luar biasa berkenaan dibuka semula kepada kelab-kelab Liga M3 berdasarkan Perkara 4.5, 4.6 dan Annexe III Peraturan Pelesenan Kelab MFL.



MFL menyatakan keperluan kriteria mengisi slot Liga Super itu masih sama dengan kriteria permohonan luar biasa pasukan Liga M3 dan subkriteria iaitu infrastruktur, kakitangan dan pentadbiran, sukan, perundangan, kewangan dan perniagaan, yang terkandung dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button