Jam tangan mewah Leclerc dicuri

LONDON: Jam tangan bintang Ferrari, Charles Leclerc dicuri oleh peminatnya di Itali kelmarin.

Pemandu berusia 24 tahun itu yang kini mengetuai Kejuaraan Formula Satu (F1) dunia musim ini menyaksikan popularitinya di Itali semakin meningkat.

Justeru apabila peminat menyedari kehadirannya di bandar Viareggio dekat Tuscan, mereka mula berkumpul untuk bergambar dengan Leclerc.



Bagaimanapun menurut satu laporan, pemandu F1 itu menjadi mangsa ketika menandatangani autograf peminatnya apabila pencuri berjaya melarikan jam tangan Richard Mille miliknya yang berharga £246,000 (RM1.36 juta).

Leclerc tidak menyedari bahawa jam tangan miliknya dicuri ketika kejadian namun membuat laporan selepas itu.

Pihak berkuasa mula melakukan siasatan dan cuba memastikan sama ada kejadian itu dirancang atau sebaliknya.

Jurulatih Leclerc, Andrea Ferrari yang berasal dari Viareggio, berada bersama bintang Ferrari itu ketika kejadian dan dia berang kerana kurangnya lampu jalanan di Via Salvatori – satu kawasan di bandar berkenaan iaitu tempat berlaku kejadian.



Ferrari menerusi Instagram berkata: “Via Salvatori sudah berbulan dalam keadaan gelap. Sudah berbulan-bulan kami melaporkan perkara ini.

“Malam semalam di Via Salvatori, mereka merompak kami. Bila mahu sediakan lampu? Meminta tolong daripada kawan.”

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button