Salah akui ‘mudah’ belasah Man Utd
LIVERPOOL: Mohamed Salah merumuskan bermain menentang Manchester United musim ini “mudah” selepas meledak dua kali ketika menang 4-0 mengatasi Red Devils di Anfield sebentar tadi yang membawa Liverpool ke persada Liga Perdana.
Skuad Jurgen Klopp juga menang 5-0 di Old Trafford pada Oktober dan jangkaan sama dipamerkan apabila Liverpool mendedahkan jurang beaar antara kedua-dua pasukan ketika Luis Diaz dan Sadio Mane juga menemui sasaran.
“Mereka menjadikan hidup kami senang di bahagian tengah dan belakang,” kata Salah.
“Mereka sentiasa cuba memberikan kami bola dalam situasi satu lawan satu, jadi ia membuatkan kami lebih mudah.
“Apabila kami bertahan, kami tidak dibolosi di sini dan di sana juga.”
Salah tidak menjaringkan gol buat Liverpool daripada permainan terbuka sejak Februari tetapi kembali mendapatkan prestasinya apabila diberikan ruang oleh pertahanan United seterusnya menambah jaringannya kepada 30 gol musim ini.
“Saya banyak menjaringkan gol untuk kelab ini dan ia terus datang,” kata Salah. “Perkara paling penting ialah pasukan terus menang.”
Kemenangan membawa Liverpool dua mata di depan Manchester City, tetapi juara England itu boleh kembali ke persada apabila menanti kehadiran Brighton awal pagi esok.
AFP