Shuib Tak Ada Selera Makan, Sebak Teringat Pajeri Nenas Arwah Siti Sarah

Hilang penyeri kehidupan bukan satu perkara mudah untuk dilalui. Tahun pertama meraikan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tanpa figura isteri ternyata menyentuh hati pelawak dan pelakon Shuib.

Nampak kuat menghadapi kehilangan isteri tercinta, Shuib akhirnya tidak dapat menahan air mata ketika ditemu bual di majlis berbuka anjuran Indigital Music, pada Isnin.

Ditanya memori beraya bersama dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib berkata kenangan serba kekurangan ketika di awal perkahwinan mereka yang paling mekar di ingatan.



Memori menyambut hari raya bersama arwah yang tidak dapat saya lupakan adalah pada zaman kami susah dahulu.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan perlu berhati-hati ketika berbelanja, iaitu terpaksa buat kira-kira terutama untuk beli pakaian, kuih raya dan duit raya, tetapi arwah tidak kisah. Momen itulah yang masih saya ingat hingga hari ini.

Tak sakit cuma tak berselera

Dalam pada itu, pemilik nama Shahmira Muhamad memberitahu dia telah hilang sembilan kilogram (kg) berat badan susulan hilang selera makan.



Biarpun sebelum ini pajeri nenas menjadi pilihan ketika berbuka namun tidak lagi kerana dia akan berasa sebak mengenangkan arwah suka memasak hidangan tersebut.

Saya tidak sakit, cuma tiada selera hendak makan sangat. Disebabkan itu, saya hilang sembilan kg dan dijangka terus menyusut hingga 11 kg pada penghujung Ramadan ini.

Hingga hari ini, saya masih tidak jumpa apa yang boleh saya makan. Selalunya dalam bulan puasa, saya suka makan pajeri nanas.

Ketika saya kemas peti sejuk selepas arwah pergi, saya jumpa pajeri nanas masakannya. Apabila ternampak, saya jadi sebak. Bayangkan, selama 10 tahun saya nikmati makanan itu.



Memikirkan dia perlu sihat demi menjaga empat cahaya mata, usahawan berumur 38 tahun ini memaksa diri untuk menjamah makanan.

Demi anak-anak, saya paksa diri untuk makan. Makan sekadar untuk beri tenaga dan bukannya beriya-iya.

Jika itu berterusan, ia tidak baik untuk kesihatan. Ini akan menyebabkan saya kurus seperti papan dan muka menjadi cengkung.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempatnya, Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.



Hasil perkahwinan bersama pada tahun 2011, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia tujuh bulan.

Sumber: @shuibsepahtu

ohbulan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button