ADUN Rengit, Puad Zarkashi dilantik Speaker DUN Johor

ISKANDAR PUTERI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Pencalonan Mohd Puad itu dikemukakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada sesi Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang ke-15.

Onn Hafiz yang juga ADUN Machap hanya mencadangkan satu nama sebagai calon Speaker sebelum pencalonannya itu disokong ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip.



Mohd Puad, 64, menggantikan Suhaizan Kaiat dari Parti Amanah Negara (AMANAH) yang memegang jawatan itu sejak 2018 hingga awal tahun lalu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi.

Mohd Puad adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum-ke 12 (PRU12).

Beliau turut pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dari 2009 hingga 2013.

Dalam pada itu, Mohd Puad ketika berucap selepas secara rasmi dilantik sebagai Speaker dan dipakaikan pakaian rasminya berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan Menteri Besar yang memilihnya sebagai Speaker.



Katanya, beliau beriltizam untuk memikul amanah yang diberikan itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi.

“Saya ingin mengingatkan ahli dewan supaya sentiasa ingat terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Persidangan Keempat DUN Johor yang mahu semua ahli dewan sentiasa berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri.

“Jangan dibenarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk titah baginda.

“Justeru marilah kita ahli dewan berbahas secara tertib dan konstruktif. Kita memikul tanggungjawab sebagai pembina bangsa dan negara. Peliharalah keunggulan nama bangsa Johor,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button