Elyana pulih dan bebas daripada kanser limfoma
KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih disyukuri penyanyi, Elyana apabila dimaklumkan dirinya pulih dan bebas daripada kanser limfoma tahap empat.
Namun, Elyana, 35, atau nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal mengakui tidak mahu terlalu gembira apabila sel kanser sudah tiada, sebaliknya, Elyana bersyukur apabila doanya untuk sihat dimakbulkan Tuhan.
“Saya lega… Bagai ada satu beban yang saya pikul selama ini sudah tiada. Tetapi saya tidak boleh gembira terlalu awal sebab kanser boleh datang semula bila-bila masa sahaja.
“Jadi, saya hanya nikmati apa yang ada sekarang. Saya tidak berharap sangat, namun, alhamdulillah selepas lebih 10 tahun, doa saya dimakbulkan.
“Saya rasakan diri ini bagai dilahirkan semula,” katanya kepada BH Online.
Bukan sekadar tampak sihat dan ceria, berat badan Elyana juga bertambah.
“Iya, berat badan saya bertambah. Salah satu sebab adalah steroid dan selera makan saya sudah datang balik.
“Jadi, daripada berat badan hanya 35 kilogram (kg), sekarang sudah mencecah 60 kg. Sejujurnya, saya tidak berpantang makanan dan disebabkan itu, ramai netizen mengecam saya,” katanya.
Bercerita lanjut, Elyana berkata, pada lima tahun pertama menghidapi kanser, dia mengamalkan pantang.
“Tetapi saya jadi lemah. Mental turut terkesan sebab saya rasa diri ini sakit. Selepas itu, saya teruskan macam biasa, nak makan apa, saya makan tetapi berpada-pada.
“Sebab bagi saya, semuanya yang diambil berlebihan akan memudaratkan,” katanya.
Elyana berkata, dua anaknya iaitu Cinta Sumayyah dan Cahaya Ramadhani menjadi insan paling gembira sebaik mendapat tahu dirinya pulih daripada kanser.
“Anak-anak saya paling gembira terutama Cinta sebab dia sudah besar. Sejak Cinta berusia enam bulan, saya disahkan menghidap kanser.
“Sekarang, umur Cinta sudah menginjak 11 tahun. Dia dapat rasa perbezaan ibunya dahulu dan sekarang.
“Kalau dahulu, pergi bercuti pun, ibu tidak boleh temani dia melakukan aktiviti seperti mandi kolam kerana hanya terbaring di dalam bilik disebabkan penat.
“Sekarang, Cinta gembira sebab semua aktivitinya saya sertai sama,” katanya yang ditemui di Pink Bazar Ramadan di pusat beli-belah Publika, di ibu negara, baru-baru ini.
Elyana berkata, seperti Ramadan lalu, dia menjual baju, tudung serta kuih tradisi iaitu semperit yang dibuat neneknya.
“Saya tidak jual kuih lain selain semperit nenek saya. Dia buat sendiri kuih ini walaupun usianya hendak menjengah 80 tahun.
“Saya juga menjual tudung Elyana Hijab. Ini kali pertama saya jual tudung selepas berhijab setahun lalu. Pada awalnya, saya tidak mahu sebab takut orang kata saya pakai tudung sebab hendak jual tudung.
“Tetapi, lama-lama apabila orang tanya sama ada saya mahu jual tudung atau tidak, saya terdetik melakukannya,” katanya yang memulakan perniagaan Elyana Hijab sejak dua bulan lalu.
Elyana mendedahkan dirinya menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat pada 2017. Sebelum ini, sel kanser menyerang dan merebak ke beberapa organ badan Elyana seperti rahim, hati dan pangkal paha.