‘Moyangku Tan Sri P Ramlee’

Puchong: “Saya bangga dilahirkan dalam keluarga ada darah seni dan mempunyai seorang moyang yang juga legenda seni tanah air,” kata Abu Ghazi Gurnawan.

Abu Ghazi, 17, yang menetap di Taman Putra Perdana, Puchong menarik perhatian netizen selepas mendedahkan dirinya cicit Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee di TikTok miliknya.

Pendedahan dibuat bagi mengikut trend dedah (expose) diri seperti dilakukan ramai pengguna di platform berkenaan.



“Saya sudah lama ada akaun TikTok dan aktifkannya untuk melihat perkongsian orang lain saja di platform itu.

“Pada satu hari, saya muat naik video trend berkenaan dan tak sangka pula pengikut bertambah selepas saya buat pendedahan itu.

“Ada yang tidak percaya dan minta tunjukkan bukti. Disebabkan itu saya muat naik satu lagi video menunjukkan keratan akhbar lama memaparkan laporan berkaitan waris Allahyarham moyang saya yang di dalamnya gambar datuk saya iaitu Allahyarham Nasir P Ramlee,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, perkongsiannya itu bukan bertujuan menarik perhatian sesiapa kerana sebelum ini hanya mereka yang rapat dengannya saja tahu mengenai hal itu.



Katanya, ia kerana Abu Ghazi mahu mengikut pesan bapanya, Gurnawan Nasir, 50, untuk tidak terlalu menghebohkan perihal itu kepada umum.

Bercerita lanjut, Abu Ghazi berkata, dia amat mengagumi bakat dan karya P Ramlee walaupun tidak sempat berjumpa moyangnya itu.

“Sejak kecil, seingat saya seawal umur lima tahun saya sudah menonton filem lakonan Allahyarham.

“Ketika itu, keluarga iaitu ayah dan ibu (Afiza Shariff) sudah beritahu yang Allahyarham adalah moyang saya.



“Antara lagu nyanyiannya yang menjadi kegemaran saya adalah Pok Pok Bujang Lapok dan Aci Aci Buka Pintu,” katanya.

Abu Ghazi berkata, darah seni ternyata mengalir dalam dirinya yang juga meminati bidang muzik.

“Saya suka bermain gitar dan jika ada rezeki, saya mahu menyambung pengajian dalam Diploma Muzik selepas tamat persekolahan nanti.

“Tak kisah pun di mana asalkan kampus itu ada menawarkan jurusan muzik dan berharap impian itu tercapai,” katanya yang pernah dibawa keluarganya berjumpa waris lain dan menziarahi pusara Allahyarham moyangnya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button