Datuk Seri Rina Harun nafi KPWKM tidak ambil tindakan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan kementerian itu tidak mengambil sebarang tindakan berkaitan kes pengabaian dan penganiayaan remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata antara tindakan yang diambil adalah melucutkan hak penjagaan anak angkat kepada Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, tahun lalu.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menyita rumah jagaan berkenaan serta mengeluarkan kompaun pada Julai tahun lalu.



“Kita sudah memberi bimbingan emosi kerana dia (Bella) agak trauma, kita perlu pastikan dia lebih sihat dari segi keadaan fizikal dan emosi.

“Kita juga memperketatkan undang-undang untuk orang yang layak dan sesuai (dalam hak penjagaan kanak-kanak) ini. Beberapa pindaan sudah dilaksanakan supaya perkara seperti ini tak berlaku lagi,” katanya di sini.

Menjawab pertanyaan wartawan mengapa beliau mengambil sikap berdiam diri dalam isu Bella, Rina berkata, tindakan itu adalah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan remaja berkenaan.

“Ada perkara yang (dibuat) sebelum ini tidak dimaklumkan, tetapi (ia) tidak bermakna kita tak buat apa-apa atau ambil apa-apa tindakan.



“Adik Bella perlu kita selamatkan dan kesejahteraan dia yang penting, di samping kita mahu pelaku dikenakan tindakan yang setimpal,” katanya.

Menyentuh mengenai pertemuannya dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini, Rina berkata, pertemuan berkenaan membangkitkan beberapa cadangan untuk ditambah baik undang-undang hak penjagaan serta membincangkan pelaksanaan program yang boleh dijalankan bersama.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button