Keputusan kes bunuh CEO Cradle Fund 30 Mei
Shah Alam: Keputusan sama ada Samirah Muzaffar dan dua remaja dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan akan diketahui pada 30 Mei.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pada akhir kes pendakwaan.
“Terima kasih banyak semua, mahkamah tetapkan 30 Mei, Isnin pada sebelah petang jam 2.30,” katanya selepas mendengar hujahan selama empat hari bermula 7 April lalu.
Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Abu Bakar manakala pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.
Terdahulu, Tengku Intan Suraya berhujah teori ‘Stage Crime Scene’ atau kejadian yang diada-adakan seperti dinyatakan Pegawai Forensik Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Prashant Sanberker, saksi pendakwaan ke-50 (SP50), adalah berasas kerana ia disokong dengan penjelasan serta hasil penemuan ketika lawatan tempat kejadian.
“Keterangan SP50 mengenai teori itu berdasarkan kepada penemuan dua bentuk yang berbeza di belakang badan simati iaitu ‘post mortem hypostasis’.
“Bentuk ini mengambil masa kosong hingga enam jam untuk wujud dan enam hingga 12 jam seterusnya untuk membolehkan bentuk ini menjadi kukuh.
“Sekiranya mayat dialihkan, bentuk kedua akan mengikut bentuk yang pertama dan jika simati mati di atas lantai seperti dijumpai, hanya akan terdapat satu bentuk di bahagian belakang badan si mati,” katanya.
Beliau berkata, selain membuat pemerhatian terhadap gambar yang dibekalkan, SP50 turut melawat tempat kejadian pada 4 Oktober 2018.
Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa pihak pendakwaan secara konsisten membuat penegasan bahawa ia adalah ‘kejadian yang diada-adakan’ tetapi gagal untuk menghuraikan apa yang mereka maksudkan.
“Sebagai contoh, adakah pihak pendakwaan mendakwa yang diada-adakan itu adalah untuk ‘kemalangan’ atau ‘letupan telefon’ dan dengan kekaburan ini, hujahan pihak pendakwaan mengenai ‘kejadian yang diada-adakan’ sepatutnya ditolak,” katanya.
Muhammad Shafee berkata, saksi pendakwaan ke-33, Sjn Abdul Rahim Taha berkata semasa beliau menyoal Samirah, wanita itu memberitahunya yang dia tidak mendengar bunyi letupan.
“Sekiranya Samirah ingin menutup pembunuhan dengan kemalangan atau ‘mengada-adakan’ kemalangan, Samirah akan berkata ‘Ya’ bahawa ada letupan. Malah, pada 15 Jun 2018 berita mengenai kebakaran dan telefon meletup sudah pun keluar di khalayak ramai,” katanya.
Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng; Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan kediaman si mati Raju Kumar Pandit.
Perbicaraan bermula pada 6 Sept 2019.
Samirah, 47, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
METRO