Elak rugi, pasar raya jual produk makanan tamat tempoh
Muar: Pura-pura tidak menyedari makanan dijual tamat tempoh menjadi alasan pengurus pasar raya di sekitar daerah ini susulan serbuan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar, semalam.
Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Noorhaida Ujang berkata, dalam Operasi Lak dan Sita sempena Aidilfitri, sebanyak 237 makanan pek dan bertin sudah tamat tempoh, bungkusan rosak atau kemek serta kesalahan pada label makanan dikesan.
“Pengurus berkenaan memberikan alasan bahawa itu adalah kecuaian pekerja hingga menyebabkan makanan rosak masih dijual dan diletakkan di rak.
“Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati makanan yang sudah tamat tempoh terus dijual. Alasan diberikan penyelia adalah mereka sudah mengarahkan pekerja untuk semakan tarikh luput, tapi ia tidak dilakukan,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, pihaknya percaya tindakan pihak pasar raya terus menjual atau mempamerkan barangan yang kemek atau sudah tamat tempoh itu adalah bertujuan mengelakkan kerugian berbanding jika ia dilupuskan.
“Sebanyak tiga notis 32B dikeluarkan atas kesalahan di bawah kesalahan Peraturan 14 (9)(b) iaitu makanan yang telah luput tarikh, Peraturan 11(1)(j) iaitu tiada nama dan alamat pengeluar pada label makanan serta kesalahan Peraturan 10 iaitu label yang tidak mengikut kehendak bahasa ditetapkan,” katanya.
Noorhaida berkata, semua makanan itu disita dan ditahan di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983.
“Keseluruhan barang rampasan adalah sebanyak 237 kuantiti bernilai RM1,389 dan nilai kompaun keseluruhan dikeluarkan adalah sebanyak RM10,000.
“Kecuaian pihak pasar raya menjual makanan telah rosak adalah berikutan tiada mekanisme atau kaedah dilakukan untuk memeriksa tarikh luput bagi setiap barang,” katanya.
Katanya, pemeriksaan berkenaan bertujuan memastikan makanan yang dibeli adalah selamat dimakan dan tidak memudaratkan kesihatan.
“Kita menasihati pengguna supaya memeriksa terlebih dahulu tarikh luput pada bungkusan makanan dan melihat keadaan fizikal makanan sebelum membuat pembelian,” katanya.
METRO