Fasa 3B Battersea Power Station dilancar tahun ini
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd bersedia untuk melancarkan fasa 3B projek Battersea Power Station tahun ini.
Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutifnya, Rizal Rickman Ramli, berkata projek Battersea Power Station di tengah London menunjukkan prospek yang cerah, dengan ramai orang kembali ke pembangunan itu sempena musim panas.
“Fasa seterusnya bagi projek Battersea Power Station sedang disemak, berpandukan strategi perancangan dan pembangunan yang fleksibel.
“Syarikat juga memantau rapat aliran pasaran di London serta di United Kingdom dengan teliti dan belajar daripada pengalaman menguruskan pelaburan monumental ini untuk peluang perniagaan masa hadapan,” katanya dalam laporan tahunan bersepadu Sime Darby 2021 yang dikeluarkan hari ini.
Sime Darby memegang 40 peratus kepentingan dalam projek pembangunan usaha sama itu dan ia kini turut mempengerusikan usaha terbabit.
Walaupun Sime Darby Property menjangkakan prospek dan peluang yang lebih baik pada 2022, syarikat itu juga percaya masih terdapat ketidakpastian dan cabaran ekonomi disebabkan oleh peningkatan inflasi, ketegangan geopolitik dan kesan berlarutan daripada pandemik COVID-19 yang berpanjangan.
Rizal Rickman bagaimanapun berkata, berlandaskan kepimpinan kumpulan yang kukuh, ditambah dengan pekerja yang cekap dan asas yang mantap, pihaknya yakin keupayaan akan membolehkan syarikat mengharungi situasi dan cabaran dengan kejayaan yang mampan.
“Secara keseluruhan, kami yakin bahawa kami berada di landasan untuk mencapai matlamat akhir menjadi syarikat hartanah menjelang 2025,” katanya.
-BERNAMA