Budak 4 Tahun Maut Dipaksa Nenek Habiskan Sebotol Arak

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Amerika Syarikat dilaporkan maut akibat dipaksa meminum sebotol arak jenis whisky ketika dihukum oleh neneknya.

Dipaksa minum alkohol

Memetik laporan Mirror UK, pada awalnya, mangsa yang dikenali dengan nama China Record telah terjumpa sebotol arak yang mengandungi 40 peratus kandungan alkohol lalu meminumnya seteguk. Perkara tersebut sampai ke pengetahuan neneknya, Roxanne Record dan ianya secara tidak langsung membuatkan wanita yang berusia 53 tahun itu ‘naik hantu’.

Susulan daripada itu, suspek telah mengarahkan mangsa melutut di lantai sebelum memaksanya menghabiskan minuman keras itu. Difahamkan, ibu mangsa, Kadjah Record yang berada di situ tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya berdiri sambil menyaksikan kejadian tersebut. Mangsa yang berada dalam keadaan lemah kemudian diletakkan di dalam bilik mandi sebelum dia ditemui meninggal dunia.



Nenek, ibu mangsa ditahan

Menurut sumber, Roxanne dan Kadjah tidak membawa kanak-kanak malang itu ke hospital sehinggalah mangsa didapati tidak bernafas. Polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai seorang kanak-kanak yang tidak sedarkan diri di rumah. Setibanya di sana, mereka mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat keracunan alkohol.

Hasil pemeriksaan mendapati, kandungan alkohol dalam darah mangsa diukur mencapai tahap 0.68 peratus iaitu lapan kali ganda melebihi kadar ditetapkan undang-undang AS iaitu pada tahap 0.08 peratus untuk orang dewasa yang memandu.

Roxanne mengaku bersalah dan memberitahu polis bahawa dia mahu bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian China. Dua wanita berkenaan kemudian ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh.



Sumber: Mirror UK

ohbulan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button