Menang, tapi Guardiola tak puas hati

Manchester: Pep Guardiola kecewa apabila Manchester City melepaskan banyak peluang untuk membunuh Real Madrid lebih awal ketika mereka menewaskan gergasi Sepanyol 4-3 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Pasukan Guardiola sepatutnya dapat menutup terus peluang Real pada perlawanan pertama di Stadium Erihad apabila mereka mendahului dengan dua gol sebanyak tiga kali, namun membenarkan pendahulu La Liga itu bangkit mengejar.

City mendahului dua gol hanya selepas 11 minit dan turut mendahului 3-1 dan 4-2 namun Real enggan menyerah kalah dalam satu perlawanan terhebat Liga Juara-Juara.



Gol kedua Karim Benzema menerusi penalti ‘Panenka’ minit ke-82 menjadi kemuncak kepada perlawanan itu seterusnya memastikan Real masih berpeluang untuk mara ke final.

Ketika Guardiola gembira dengan aksi kedua-dua pasukan, pengendali City lebih bimbang dengan kegagalan pemainnya untuk memanfaatkan persembahan dinamik mereka.

“Ia perlawanan menakjubkan kedua-dua pasukan. Kami melakukan banyak perkara bagus. Malangnya kami melepaskan gol dan tidak menjaringkan lebih banyak,” kata Guardiola.

“Apa yang kami lakukan dengan bola dan tanpa bola, mencipta peluang demi peluang, saya tidak boleh meminta lebih daripada itu.



“Kami menampilkan persembahan menakjubkan. Pada saat kami bangkit pada babak pertama, saya rasa kami memberikan mereka peluang kerana terlalu gementar.

“Biasanya kami rasa sangat selamat dan bagus. Mereka juga memberi tekanan dengan kuat dan bagus. Kualiti ditunjukkan Real Madrid seperti itu boleh menghukum anda.”

Kegagalan City untuk menyempurnakan lebih banyak peluang pada aksi kalah mati boleh mengancam mereka pada pertembungan kedua di Madrid pada 4 Mei.

Real sudah menyingkirkan Paris Saint-Germain dan Chelsea pada aksi kalah mati musim ini.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button