Tiga jam dah habis

Batu Pahat: Tidak sampai tiga jam, pasti Nasi Beriani Gam Warisan Anak Ugik habis terjual di bazar Ramadan Parit Betak, di sini.

Pengusahanya, Mohd Sanin Surip, 54, berkata, ini kerana nasi beriani itu memang sudah dikenali dan hanya dijual pada Ramadan sahaja.

Katanya, pada bulan lain, mereka hanya menerima tempahan kenduri untuk menu terbabit.



“Sebahagian orang Bugis di sini lebih menggemari menu nasi beriani untuk majlis sama ada kenduri kesyukuran, tahlil, bacaan Yasin dan rumah terbuka. Jika menerima tempahan kami akan masak.

“Istimewanya nasi ini dimasak bersama lauk di bawah dan dialas dengan kain khas kemudian diletakkan nasi di atasnya.

“Tepung atau kertas surat khabar akan digunakan sebagai alas antara tutup periuk dan periuk untuk ‘gam’ supaya aroma dan wap meresap ke dalam nasi,” katanya yang mampu menjual 100 bungkus nasi setiap hari.

Mohd Sanin berkata, nasi warisan ini diusahakan bersama keluarganya sejak lima tahun lalu dan dijual hanya di bazar Ramadan.



Katanya, untuk hari biasa sepanjang Ramadan, nasi beriani ini mampu dijual dalam tempoh tiga jam sahaja.

“Tetapi jika hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu, dua jam sahaja nasi beriani bersama lauk kambing atau ayam ini habis terjual,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button