Kak Teh akhirnya dapat dijejaki

Kuantan: “Syukur sangat. Penantian selama 47 tahun berakhir sudah pada petang 25 Ramadan, apabila dapat bercakap sendiri dengan Kak Teh. Terlerai juga rindu di hati walau belum dapat bersua muka,” kata Batliyah Din, 62.

Batliyah berkata, dia tidak menyangka hasil usahanya untuk mencari kakaknya, Che Putih yang kini berusia 70-an, berakhir selepas menerima satu panggilan daripada Kuala Lumpur ketika dia sedang membuat persiapan berbuka puasa.

“Walaupun belum dapat bertemu secara bersemuka, saya yakin Kak Teh dapat mengenali saya begitu juga sebaliknya kerana sudah terlalu lama terpisah.



“Ramadan dan Syawal tahun ini amat bererti bagi diri apabila doa yang tidak pernah putus untuk bertemu Kak Teh termakbul juga,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Batliyah menghubungi wartawan Harian Metro pagi ini memaklumkan kakaknya, Che Putih berjaya dijejaki hasil bantuan seorang individu yang tidak dikenalinya.

“Semalam, kira-kira 3 petang, ada seorang lelaki dari Dang Wangi, Kuala Lumpur menghubungi saya memaklumkan dia berjaya menemui satu nama sama seperti Kak Teh.

“Dia juga memberikan nombor telefon yang sama seperti Encik Asrul beri kelmarin tetapi tetap tidak berjawab. Selain itu, dia turut memberikan alamat penuh rumah wanita yang bernama Che Putih itu di Sungai Nibong, Pulau Pinang,” katanya.



Batliyah berkata, individu itu akhirnya meminta bantuan rakannya yang kebetulan menetap di Sungai Nibong pergi ke alamat berkenaan untuk memastikan sama ada benar atau tidak, wanita itu adalah kakaknya.

“Saya dihubungi sekali lagi oleh lelaki berkenaan dan ternyata dia benar-benar Kak Teh berdasarkan maklumat yang saya berikan sebelum itu.

“Akhirnya, saya dapat mendengar suaranya selepas sekian lama walaupun dapat bercakap dengan Kak Teh sekejap sahaja kerana lidah menjadi kelu dan terkedu. Apatah lagi ketika Kak Teh beritahu dia sakit.

“Saya menjadi risau apabila mendengar tahap kesihatannya tidak begitu baik dan berharap dapat bertemunya secepat mungkin,” katanya yang menetap di Felda Padang Piol, Jerantut.



Muka depan Harian Metro pada Isnin, 25 April 2022 melaporkan Che Putih menghilangkan diri sejak 1975 selepas permintaannya untuk berkahwin dengan lelaki sudah beristeri ditolak oleh bapanya, Din Mohamad dan ibu, Bashah Hassan.

“Terima kasih kepada Harian Metro yang bersungguh-sungguh menyiarkan kisah saya tiga hari berturut-turut dan mendapat perhatian ramai pembaca akhbar ini sehingga ada yang tampil membantu jejak Kak Teh.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan saya dipertemukan semula dengan Kak Teh. Insya-Allah saya akan ke sana selepas hari raya nanti,” katanya dengan nada ceria.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button