Kanak-kanak dua tahun maut dalam kebakaran

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun maut manakala lima cedera dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 pagi.

Katanya, seramai 18 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, BBP Kuantan dan BBP Indera Mahkota dikejarkan ke tempat kejadian.



“Empat jentera termasuk dua jentera FRT digunakan dalam operasi pemadaman.

“Berdasarkan laporan, kebakaran membabitkan dua rumah jenis semi D separuh kekal, masing-masing hangus 100 peratus dan 90 peratus.

“Enam mangsa terbabit termasuk seorang kanak-kanak dua tahun yang maut di tempat kejadian dan seorang lelaki dewasa melecur 50 peratus manakala seorang lelaki cedera ringan.

“Dua wanita dewasa dan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan turut cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, kebakaran itu juga membabitkan tiga kenderaan terbakar dengan satu kenderaan hangus manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan teruk.

“Setakat ini, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button