Pesawah alami kerugian RM26.19 juta akibat banjir

KOTA BHARU: Seramai 1,365 pesawah terjejas teruk membabitkan kerugian sebanyak RM26.19 juta akibat tanaman padi yang diusahakan mereka musnah susulan banjir teruk Februari lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Kamarudin Md Nor, berkata ia membabitkan kerosakan tanaman padi seluas 4,500 hektar.

Beliau berkata, tanaman yang musnah membabitkan beberapa daerah iaitu Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tumpat.



“Banjir baru-baru ini menyebabkan ramai pesawah yang terkesan kerana ia berlaku ketika pokok sedang membesar dan ada yang sudah mengeluarkan hasil.

“Berdasarkan pemeriksaan yang kita lakukan, seluas 4,500 hektar tanaman padi musnah membabitkan 1,365 pesawah dengan nilai kerugian direkodkan sebanyak RM26.19 juta.

“Susulan itu, KADA sudah memohon kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memohon bantuan kepada pesawah yang terjejas.

“Disebabkan ia membabitkan nilai yang banyak, dana bantuan terbabit perlu diperoleh daripada Kementerian Kewangan dan setakat ini kita masih menunggu maklum balas. Sebaik bantuan terbabit disalurkan, kami akan menyerahkan kepada mereka yang terjejas,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra dan berbuka puasa KADA bersama pengamal media di Hotel Grand Renai, di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, KADA bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah terbiar seluas 100 hektar di Bunut Susu, Pasir Mas.

Katanya, pendekatan itu sebagai langkah meningkatkan pengeluaran tanaman padi yang semakin berkurangan susulan kawasan

KADA semakin mengecil kerana faktor pembangunan.



“Justeru, KADA bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah milik kerajaan negeri terbabit bagi penanaman pagi. Penanaman dijangka bermula dua hingga tiga tahun susulan proses memulihkan tanah terbabit mengambil masa yang agak lama.

“Kita baru sahaja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan selepas ini kerja-kerja memulihkan tanah terbiar itu akan bermula yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun sebelum tanaman dimulakan,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button