Pati Myanmar mengaku rakyat Malaysia elak ditahan

Kuala Lumpur: Mengaku sebagai rakyat Malaysia namun gagal menunjukkan kad pengenalan yang sah.

Itu helah warga Myanmar bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Serbuan menerusi Ops Belanja itu berjaya menahan 248 pendatang asing tanpa izin (Pati) daripada pelbagai warga negara yang dipercayai peniaga dan pekerja di pasar terbabit.



Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah yang ditahan, seramai 205 adalah lelaki manakala baki 43 lagi adalah wanita.

“Daripada 248 individu itu, 109 orang adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Manakala 139 orang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen sah yang merangkumi warga Pakistan, India, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi terbabit, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut mengesan tiga warga Pakistan yang mempunyai kad UNHCR walaupun negara itu bukanlah negara yang termasuk di dalam penggunaan kad terbabit.



“Selepas disemak, kad berkenaan adalah tulen. Kami akan melakukan siasatan lanjut bagaimana tiga warga Pakistan itu boleh mempunyai kad UNHCR.

“Ketika serbuan dilakukan, ada antara mereka mengaku sebagai rakyat Malaysia dan ada yang cuba melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, operasi dilakukan selepas menerima rungutan orang ramai mengenai warga asing berkenaan yang berniaga secara haram di tepi jalan berhampiran pasar itu.

“Kebanyakan warga asing ini adalah orang yang sama pernah ditahan dalam beberapa siri serbuan dilakukan di kawasan terbabit.



“Mereka (warga Myanmar) ini dikesan menjual sayur dengan harga murah kerana mendapat bekalan sayur yang dibuang oleh pemborong,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button