Penurunan ringgit jejas kesejahteraan rakyat

Ringgit Weakening

KUALA LUMPUR: Penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang ketika ini melepasi paras RM4.30 sedolar akan terus menggugat kesejahteraan rakyat yang sebelum ini agak membimbangkan ekoran pendapatan isi rumah yang rendah, demikian mengikut Ahli Ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid.

Beliau yang juga bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, situasi semasa dijangka diburukkan lagi oleh trend kenaikan harga umum pada fasa peralihan endemik COVID-19.

“Kemerosotan kadar tukaran ringgit akan menambah tekanan inflasi apabila (barangan dan perkhidmatan) import kini menjadi lebih mahal (tekanan inflasi import akan lebih menyerlah).



“Kita (Malaysia) amat bergantung kepada import untuk mencukupkan bekalan makanan, terutama permintaannya tidak mudah digantikan dengan bekalan tempatan.

“Tambahan lagi tekanan inflasi lebih terkesan kepada barangan makanan dan minuman yang dibelanjakan dalam nisbah kepada pendapatan isi rumah yang tinggi, dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

Namun katanya, di sebalik kelemahan semasa nilai mata wang tempatan, akaun dagangan negara iaitu imbangan pembayaran masih kukuh dengan lebihan disumbangkan oleh kekukuhan komoditi terutama minyak mentah.

“Kewangan kerajaan bagaimanapun akan terasa lega sedikit ekoran kenaikan harga minyak mentah yang menyumbang agak besar kepada kewangan kerajaan Persekutuan.



“Selain harga minyak mentah tinggi, kekukuhan dolar menjadikan eksport lebih menarik berbanding import yang akan menambah lebar lebihan akaun dagangan dalam imbangan pembayaran.

“Pengaliran masuk pelancong asing ke dalam negara juga dijangka menjadi lebih kukuh.

“Namun, seperti yang ditegaskan tadi, nilai mata wang ini akan terus diasak yang menjadikan ia mengalami perubahan turun naik agak liar,” katanya.

Dr Zakariah menjelaskan, nilai mata wang sebenar ditetapkan oleh kekukuhan sebenar ekonomi yang dipengaruhi oleh faktor asas ekonomi dan bukan ekonomi, termasuk tadbir urus institusi, rasuah dan kehakiman.



Justeru, nilai mata wang (kadar tukaran asing) adalah cerminan tahap produktiviti.

“Misalnya, ramai orang bertanya adakah ringgit boleh dilaraskan nilai kadar tukaran sama dengan dolar Singapura, RM1 sama dengan S$1?

“Tentu sekali ia tidak mungkin berlaku jika kita tidak dapat menyamakan tahap produktiviti sama dengan di Singapura. Hal yang sama juga ringgit berbanding dolar AS, euro dan yen.

“Kalaupun kita samakan ringgit dengan mata wang negara tersebut secara administratif, iaitu dengan cara ‘inflate’ atau ‘re-value’ ringgit, yang mana ia tidak mungkin akan dilaksanakan oleh akal yang waras, kesannya kepada ekonomi Malaysia akan menuju kepada pemusnahan,” katanya.



Beliau berkata, kelegaan dalam fiskal ini boleh diguna untuk melegakan sedikit kewangan rakyat melalui pemberian subsidi.

Namun, difahamkan kerajaan sedang melihat kembali peranan subsidi dan mengurangkan bahagian yang tidak kritikal demi meningkatkan produktiviti.

Pemberian subsidi berterusan dikatakan menghambat pertumbuhan produktiviti (daya pengeluaran) dan daya saing ekonomi negara.

“Ringkasnya, untuk mempunyai nilai ringgit yang mampan, kita perlu mengurus asas ekonomi terlebih dahulu, sedang mengurus persepsi pelabur mata wang itu dilakukan hanya untuk melunakkan turun naik yang melampau dalam kadar tukaran asing.



“Justeru, satu dasar yang cermat harus diperkenalkan dalam menangani fenomena kejatuhan kadar tukaran ringgit iaitu di samping mengurus sentimen pelabur mata wang agar perubahan kadar ini tidak terlalu liar, kita juga perlu mewujudkan satu langkah berkekalan dalam meningkatkan produktiviti negara,” katanya

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button