Suami isteri antara ditahan kes peras video lucah

MARANG: Tiga individu termasuk pasangan suami isteri yang dipercayai terbabit dalam sindiket pemerasan video lucah menggunakan media sosial direman selama tiga hari hingga Sabtu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman, berkata tiga suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun itu direman susulan dua laporan berkaitan kes pemerasan video lucah di daerah Marang.

Mereka sebelum ini direman empat hari untuk siasatan berkait laporan polis diterima di daerah Kuala Terengganu.



“Hari ini, mereka diserahkan kepada polis Marang untuk siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

“Tiga suspek sebelum ini ditahan pasukan khas iaitu Op Cantas VC di Kedah pada Sabtu lalu.

“Penahanan mereka susulan laporan polis diterima pada 11,13 dan 20 April lalu berkaitan pemerasan video lucah dengan satu kes berlaku di Kuala Terengganu manakala dua lagi di Marang,” katanya dihubungi hari ini.

Terdahulu, tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah tahanan reman di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.



Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai terbabit dalam sindiket pemerasan video lucah menggunakan media sosial.

Siasatan mendapati sindiket yang baharu bermula tahun ini dipercayai menggunakan media sosial seperti Michat, WeChat dan sebagainya untuk memperdayakan mangsa yang berusia antara 28 hingga 39 tahun untuk membuat panggilan video lucah sebelum memeras ugut mereka.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button