Klopp kekal di Anfield hingga 2026
LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menandatangani kontrak baharu yang akan mengekalkannya di Anfield hingga 2026, umum kelab Liga Perdana itu semalam.
Pengendali dari Jerman itu yang kontraknya akan tamat pada 2024, berkata dia “gembira, terharu dan bersyukur” untuk kekal dua tahun lagi.
“Terlalu banyak yang saya sayang di sini,” katanya. “Saya tahu sebelum saya datang ke sini. Saya tahu lebih banyak selepas tiba dan kini saya tahu lebih daripada sebelumnya.
“Sama seperti hubungan baik yang lain, ia mesti babitkan dua pihak, anda perlu sesuai antara satu sama lain. Perasaan itu sememangnya sesuai antara satu sama lain yang membuatkan saya datang ke sini dan kerana itu saya menyambungnya sebelum ini.”
Tambahnya: “Ketika pemilik membayangkan kemungkinan untuk menyambung kontrak, saya bertanya kepada diri sendiri persoalan – ‘Adakah saya masih ada tenaga untuk memberikan diri saya sekali lagi apa yang dimahukan tempat menakjubkan ini daripada pengurusnya?’
“Saya tidak perlu masa yang panjang untuk menjawabnya. Jawapannya sangat mudah…saya sangat sayangkan tempat ini dan saya rasa bagus!”
Kata-kata Klopp sama dengan lagu The Beatles “I Feel Fine” – yang didedikasikan kepada bos Reds itu.
Liverpool masih mengejar empat trofi musim ini.
Mereka sudah menang Piala Liga dan akan berdepan Chelsea pada final Piala FA bulan depan.
Skuad Reds juga hanya satu mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester City berbaki lima perlawanan dan mendahului 2-0 selepas separuh akhir pertama Liga Juara-Juara berdepan Villarreal.
Pengurus dari Jerman itu membina Reds menjadi antara pasukan terhandal dalam bola sepak Eropah sejak mengambil alih tugasan itu pada 2015.
AFP