Lalat jejas persiapan Aidilfitri

Jelebu: “Sejak dua minggu lalu, 10 rumah penduduk di FELDA Titi diserang oleh lalat sehingga mengganggu altiviti harian selain menjejas persiapan hari raya.

“Lalat berkenaan dipercayai datang dari ladang ayam berhampiran yang terletak beberapa ratus meter dari rumah,” kata Rahmat Saad, 65.

Rahmat berkata, dia dan penduduk lain pernah berdepan masalah serangan lalat pada 2019 namun hasil campur tangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir, masalah itu berjaya diatasi.



Katanya masalah itu sekali lagi terjadi namun kali ini ketika umat Islam akan menyambut hari raya tidak lama lagi.

“Lalat berkenaan menyerang tanpa mengira masa selain hinggap dimana-mana sahaja termasuk peralatan rumah dan pakaian selain sehingga menjejaskan kualiti kehidupan.

“Sudah beratus keping kertas perangkap lalat digunakan selain berpuluh-puluh penyembur racun serangga namun keadaan masih sama,” katanya ditemui ketika lawatan Bakri, semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A Aziz dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan( JPVNS) Dr Redzuan Ibrahim.



Rahmat berkata, kerja membersih terpaksa dilakukan sepanjang masa berikutan ada lalat yang bergelimpangan mati di atas lantai.

Katanya serangan lalat itu juga menyebabkan mereka terpaksa tidur menggunakan kelambu kerana tidak tahan diganggu serangan lalat.

“Saya harap masalah ini dapat diatasi sebelum hari raya ini. Sudah pasti serangan lalat ini memberi rasa tidak selesa kepada anak, menantu dan cucu yang akan pulang selain kepada tetamu yang datang,” katanya.

Sementara itu Bakri yang sebelum itu turut membuat tinjauan di ladang ayam berkenaan berkata, JPVNS sudah mengantung lesen operasi ladang ayam berkenaan, 22 April lalu sebaik aduan diterima pada 18 April.



Katanya, pengantungan operasi itu bagi membolehkan syarikat yang menguruskan ladang ayam berkenaan mengatasi masalah serangan lalat tersebut.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button