Peletakan jawatan Syed Zaid, DAP tuntut penjelasan

KUALA LUMPUR: DAP meminta penjelasan Perdana Menteri dan Peguam Negara mengenai peletakan jawatan Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegaskan pihaknya terkejut dengan peletakan jawatan Syed Zaid hanya enam bulan selepas dilantik semula ke penggal kedua pada 1 November tahun lalu serta penggantian serta merta dengan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

“Peletakan jawatan Syed Zaid dilaporkan dikaitkan dengan pertembungan dengan keputusan kontroversi Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan jenayah terhadap syarikat minyak dan gas bermasalah Serba Dinamik Holdings Bhd dan empat eksekutif kanan, yang didakwa memfailkan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia.



“Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu memberi penjelasan penuh mengenai peletakan jawatan mengejut Syed Zaid dan penggantian segeranya dengan seorang ahli UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan mesti bertindak pantas untuk memastikan keyakinan pelabur bahawa pasaran modal Malaysia dijalankan bukan untuk kepentingan peribadi.

“Tetapi secara profesional, bebas, cekap dengan mematuhi sepenuhnya ketelusan dan menghormati kedaulatan undang-undang bebas daripada sebarang campur tangan politik,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam memaklumkan Awang Adek dilantik sebagai Pengerusi SC baharu bermula 1 Jun ini menggantikan Syed Zaid.



Kementerian berkata pihaknya menerima peletakan jawatan Syed Zaid sebagai Pengerusi Eksekutif SC yang akan berkuat kuasa pada 31 Mei 2022.

METRO

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button