Pembedahan bariatrik mendedahkan risiko kanser

Kuala Lumpur: Keghairahan segelintir individu mahu melakukan pembedahan bariatrik untuk cepat kurus mendedahkan mereka kepada risiko kekurangan nutrien atau kanser.

Lebih membimbangkan, pembedahan bariatrik kini dilihat giat dipromosikan golongan artis, pempengaruh dan ahli politik hingga menarik minat orang ramai melakukan pembedahan berkenaan tanpa menyedari risiko bakal dihadapi mereka.

Pakar bedah bariatrik Dr Andrea Ooi berkata, pembedahan bariatrik ialah pembedahan bagi membantu seseorang yang gemuk menurunkan berat badan dengan membuat perubahan kepada sistem pencernaan sama ada dengan mengecilkan perut ataupun memintas sebahagian daripada usus kecil dan meningkatkan kualiti kehidupan seseorang.



“Pembedahan bariatrik disarankan kepada mereka yang mempunyai Jisim Indeks Tubuh (BMI) lebih 32 kilogram (kg)/meter persegi (m2) sehingga 37 kg/m2 dengan keadaan perubatan.

“Bukan semua orang yang ingin kurus boleh melakukan pembedahan bariatrik, tetapi untuk mengetahui sama

Mempunyai pengalaman dalam bidang itu selama 16 tahun, Dr Andrea berkata, dia sudah melakukan ratusan pembedahan bariatrik untuk kesejahteraan kesihatan pesakit dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Berdasarkan indikasi ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), BMI yang sesuai untuk orang Asia menjalani pembedahan bariatrik adalah sekitar 32 hingga 37.



“Saya faham pembedahan bariatrik kini menjadi popular di Malaysia sebagai pemudah cara untuk cepat kurus namun perlu diingatkan ia bukan pembedahan kosmetik untuk kecantikan semata-mata, tetapi seseorang boleh berdepan pelbagai risiko kesihatan termasuk mendapat kanser,” katanya.

Menurutnya, pembedahan bariatrik terdiri daripada tiga kaedah iaitu gastric bandsleeve gastrectomy dan pintasan usus (gastric bypass).

“Prosedur seperti gastric band dilakukan dengan memasang gelung di keliling bahagian atas perut untuk menghasilkan sekatan keupayaan gastrik dan mengehadkan jumlah pengambilan kalori oleh pesakit.

“Bagi pembedahan sleeve gastrectomy, perut akan dikecilkan supaya kuantiti makanan yang masuk ke dalam perut sedikit dan bahagian perut yang mengeluarkan hormon Ghrelin dibuang.



“Ghrelin adalah hormon yang merangsang selera makan. Oleh itu, selepas pembedahan sleeve gastrectomy, pesakit akan mengalami sekatan kalori, kurang rasa lapar dan cepat kenyang,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat risiko jika melakukan sleeve gastrectomy jika pesakit tidak mendapatkan rawatan susulan, antaranya adalah kanser kerongkong kerana asid boleh naik ke organ itu.

“Selain itu, risiko jangka masa panjang selepas pembedahan ialah pesakit terdedah kepada masalah kekurangan mikronutrien kerana kuantiti makanan atau kalori dan penyerapan nutrisi yang terhad.

“Disebabkan itu saya selalu sarankan kepada pesakit, untuk selalu datang membuat pemeriksaan susulan selepas pembedahan kerana kita tidak mahu pelbagai penyakit lain muncul dan mereka naik berat badan semula,” katanya.



Ditanya dengan kos pembedahan bariatrik, Dr Andrea berkata, dianggarkan sekitar RM30,000 hingga RM42,000 bergantung kepada keadaan pesakit.

“Saya berharap individu yang mahu melakukan pembedahan bariatrik ini hanya untuk mereka yang layak saja dan bukan atas alasan untuk kurus dan cantik semata-mata.

“Bagi doktor perubatan yang sewenangnya melakukan pembedahan bariatrik sedangkan pesakit berkenaan tidak layak, mereka sangat tidak beretika,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button