Tauke buluh lemang ‘buat duit’

TEMERLOH: Fasa peralihan endemik yang sekali gus memberi peluang rakyat menyambut Aidilfitri lebih meriah tahun ini membawa rezeki kepada pembekal buluh lemang di sini.

“Tahun ini permintaan buluh lemang meningkat dua kali ganda dari tahun-tahun sebelum ini sehingga saya tidak mampu memenuhi permintaan untuk tempat yang jauh.

“Sehingga semalam saya sudah menerima tempahan sebanyak 30,000 batang buluh lemang dan dijangka mencecah 37,000 hingga 40,000 batang sehingga Ahad ini,” kata seorang pembekal dan penanam buluh lemang, Lailawati Ahmad, 49 dari Kampung Buntut Pulau, Temerloh.



Buluh lemang itu dijual pada harga RM1.40 seruas yang mana sebatang buluh dikerat mengikut ruas bagi memasukkan beras pulut untuk dibuat lemang.

Menurutnya tahun lalu permintaan buluh lemang sekitar 20,000 batang pada bulan Ramadan dan Syawal kerana ketika itu masih dalam suasana COVID-19.

“Saya agak terkejut juga tahun ini, tidak sampai seminggu umat Islam berpuasa, saya sudah mendapat tempahan lebih 10,000 batang dari seluruh negara.

“Sambutan menggalakkan ini menyebabkan saya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan dan kini terpaksa bekerja keras bimbang buluh tidak mencukupi dan tidak dapat memenuhi tempahan,” katanya.



Lailawati berkata, peningkatan tempahan buluh dua kali ganda tahun ini berikutan orang ramai teruja menyambut Aidilfitri kali ini selepas dua tahun menyambut secara sederhana.

Katanya beliau terpaksa menolak tempahan dari peniaga di tempat yang jauh seperti Terengganu, Selangor, Johor dan Perak kerana bimbang tidak sempat hantar.

“Selain bekalan buluh dari ladang sendiri di Kampung Buntut Pulau seluas 0.8 hektar yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu, saya turut mendapatkan bekalan buluh liar dengan mengupah beberapa pekerja serta penduduk Orang Asli di Bentong.

“Ini kerana bekalan buluh sukar diperoleh walaupun saya ada tanam sendiri di kampung seluas kira-kira 0.8 hektar tapi ada yang musnah akibat banjir pada Disember lalu,” katanya.



Katanya beliau berhasrat untuk menanam lebih banyak buluh tetapi menghadapi masalah tiada tanah sendiri.

Lailawati berkata, selain untuk tempahan orang ramai, buluh itu yang dijual dengan harga RM1.40 seruas untuk kegunaan sendiri kerana beliau juga menjual lemang di bazar Ramadan di Lurah Semantan di sini sejak 20 tahun lalu bersama keluarganya.

“Untuk jangka panjang, saya kini sedang dalam proses membuat semaian anak buluh lemang untuk ditanam selain menggalakkan orang ramai menanam buluh di tanah terbiar bagi memastikan bekalan buluh sentiasa ada pada masa depan,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button