Jahit baju raya sekeluarga guna kain langsir, cadar

Klang: Bagi mencari kelainan, Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman dan keluarga memakai persalinan raya diperbuat daripada kain langsir dan cadar untuk Aidilfitri tahun ini.

Menariknya, baju raya itu tidak ditempah atau dibeli sebaliknya dijahit sendiri oleh Syed Muhammad Shah Hasif, 30.

Menurut Syed Muhammad Shah Hasif, ini bukan tahun pertama dia menjahit baju raya untuk keluarga tetapi sudah melakukannya sejak dua tahun lalu.



Cuma pada 2020 dan tahun lalu, Syed Muhammad Shah Hasif hanya menjahit 30 pasang baju untuk diri sendiri, isteri, Fatin Syazwani Ishak, 23 serta anak tunggal mereka, Syed Muhammad Nouie Jaeden El-Alawi,3.

“Memandangkan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini maka saya sekeluarga mahu beraya sakan.

“Selain menjahit baju raya diri sendiri, isteri dan anak, saya turut siapkan persalinan untuk dipakai oleh emak, kakak serta tiga anak saudara pada hari raya pertama yang diperbuat daripada langsir.

“Manakala, baju raya diperbuat daripada cadar pula akan dipakai oleh saya, isteri dan anak pada hari raya kelima,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.



Menurutnya, proses menyiapkan lapan baju raya untuk dipakai keluarganya pada hari raya pertama mengambil masa dua minggu sahaja.

“Semua persalinan itu sendiri dijahit saya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Keluarga serahkan semuanya pada saya daripada segi pemilihan fabrik, warna hingga jahitan.

“Jadi, saya lakukan sehabis baik dan mungkin ramai tidak berani gunakan kain langsir dan cadar dijadikan baju kerana menyangka fabrik itu panas serta tidak selesa.

“Sedangkan, ia selesa saja jika kita bijak memilih jenis fabriknya malah saya tidak kisah apa pandangan orang kerana apa yang penting, keluarga sukakannya,” katanya yang turut memuat naik video sambutan hari raya keluarganya di TikTok miliknya @prince.syed.syahid.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button