Raya ‘terkejut’ tapi tetap meriah
Pasir Mas: Sambutan Aidilfitri pagi ini tetap disambut meriah walaupun persiapan akhir dibuat secara mengejut malam tadi selepas pengumuman Hari Raya.
Tinjauan di Kampung Lipan, di sini, mendapati seawal jam 7.45 pagi, surau di kampung berkenaan sudah dipenuhi jemaah sehingga ada jemaah terpaksa menunaikan solat di luar surau.
Selepas menunaikan solat, jemaah surau dan penduduk kampung mengunjungi rumah tertentu yang menyediakan juadah raya dan suasana kelihatan cukup meriah dengan masing-masing melaram baju baharu dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar.
Penduduk, Zaharah Hussein, 70, berkata, saban tahun setiap kali Aidilfitri, dia menyediakan juadah raya untuk penduduk kampung dan ahli keluarga yang berkunjung.
“Rutin di kampung ini setiap kali Aidilfitri, selepas solat sunat, orang kampung akan berkunjung di beberapa rumah penduduk kampung bagi menikmati juadah raya.
“Rumah mak cik selalunya menjadi rumah ketiga atau kedua dikunjungi orang ramai. Tahun ini menjadi rumah kedua dan kunjungan lebih awal memandangkan orang kampung tidak menziarahi kubur sebagaimana rutin sebelum ini.
“Walaupun persiapan sedikit kalut malam tadi dan menu raya pun terpaksa ditukar di saat akhir, namun sambutan hari ini cukup meriah dan rumah mak cik dipenuhi pengunjung,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, menu Aidilfitri yang disediakan ahli keluarganya adalah nasi lemak, mi kari, ketupat serta kuih muih.
“Walaupun serba ringkas, namun sambutan cukup meriah selepas dua tahun tidak dapat berkumpul,” katanya.
METRO