Rindu tiga beradik yatim piatu

Kota Bharu: “Kakak tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri bersama, namun pada tahun ini kerinduan sedikit terubat apabila saya dapat meraikan lebaran di sisi adik bongsu,” kata anak yatim piatu, Izati Farhana Rosli, 16.

Izati Farhana berkata, tahun lalu, dia yang tinggal di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Aitam Puteri manakala adik bongsunya, Elieysa Sofia, 15, tinggal di Rumah Kebajikan Tunas Harapan, Pengkalan Chepa hanya dapat meraikan lebaran bersama sebentar saja kerana pandemik Covid-19.

“Syawal tahun ini memberi seribu makna kepada saya apabila dapat menyambutnya disamping Elieysa Sofia dan kami berdua diberikan cuti selama seminggu sebelum kembali semula ke asrama masing-masing.



“Pada Aidilfitri pada tahun ini, saya dan adik bongsu akan menyambutnya di rumah datuk saudara di Kampung Pantai Pulau Kundor,” katanya ketika ditemui di Kampung Pantai Pulau Kundor, di sini, semalam

Harian Metro sebelum ini melaporkan, tiga beradik yatim piatu iaitu Izati Farhana, kakaknya, Alia Maisarah, dan Elieysa Sofia tidak pernah menyambut Aidilfitri bersama kerana dibesarkan berasingan akibat kesempitan hidup.

Setiap kali sambutan Aidilfitri, mereka tidak pernah dapat berkumpul, sekali gus amat berharap dapat bersua pada tahun ini untuk melepaskan kerinduan yang tidak mampu dibendung.

Arwah ibu mereka, Nurul Ain Azmi meninggal dunia pada awal tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam otak, manakala bapa mereka, Rosli Ahmad pula meninggal dunia ketika mereka masih kecil.



Sebelum ini, mereka tiga beradik itu dijaga oleh arwah nenek namun tidak lama kemudian terpaksa berpisah dan diserahkan kepada saudara berlainan disebabkan neneknya uzur pada ketika itu.

Izati Farhana berkata, dia paling rindu untuk bertemu dan menyambut hari raya bersama kakaknya yang kini tinggal bersama datuk saudara di Kuantan, Pahang, namun dia diberitahu kakaknya itu tidak dapat pulang disebabkan kedua-dua penjaganya sedang uzur.

“Jika diikutkan hati memang rindu sangat kepada kakak selepas sekian lama kami tidak dapat menyambut hari raya bersama disebabkan jarak yang jauh selain masing-masing dibesarkan oleh keluarga angkat.

“Bagi mengubat kerinduan, hanya panggilan video yang menjadi penghubung dan tempat melepaskan kerinduan.



“Keperitan menanggung rindu itu sangat berat dan sukar untuk dileraikan, namun sekuat mana pun saya tabahkan hati, tetap akan tewas dengan perasaan itu apalagi pada waktu bermakna sebegini,” katanya.

METRO

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button